Ismail Sabri perlu buktikan dirinya berbeza dari Zahid, Najib


(Utusan Digital) – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu membuktikan betapa dirinya memiliki acuan yang berbeza daripada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam soal integriti.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau perlu segera menunaikan janji yang pernah dimeterai bersama pihak-pihak lain, termasuk berhubung isu pelantikan Timbalan Perdana Menteri sebelum ini.

Katanya, ketika ini, Ismail Sabri dikenali sebagai pemimpin yang bersih serta memiliki integriti yang sama sekali berbeza dengan kedua-dua pemimpin tersebut dan perkara itu perlu dibuktikan kepada semua pihak.

Menurut beliau, tidak timbul persoalan kononnya Bersatu menuntut jawatan itu pada masa yang tidak sesuai kerana persoalan lebih besar yang sepatutnya ditanyakan adalah mengapa perjanjian itu tidak dilaksanakan setelah sekian lama dimeterai.

“Jadi, Ismail Sabri kena buktikan yang beliau adalah pemimpin UMNO berbeza dari Ahmad Zahid serta Najib. Jangan nanti, beliau dikategorikan sama acuannya dengan dua pemimpin itu.

“Di sebelah Perikatan Nasional (PN), kita dah laksanakan apa dijanjikan dalam dokumen tersebut, tetapi, di satu pihak lain, Ismail perlu beri justifikasi mengapa perkara dijanjikan itu tidak dilaksanakan?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan ibadah korban bersama penduduk Kampung Machang di Jitra, dekat sini, hari ini.

Wan Saiful menambah, selain isu jawatan Timbalan Perdana Menteri, perjanjian itu turut melibatkan beberapa lagi perkara lain.

“Ada beberapa perkara yang diketahui kedua-dua pihak yang menandatangani perjanjian ini dan setelah ditandatangani pula, berlaku beberapa situasi di mana jawatan-jawatan dipegang pemimpin dari PN yang tamat dan ditamatkan, tidak diganti dengan orang dari PN juga malahan ‘dirompak’ dengan rakusnya oleh UMNO.

“Contohnya, ada beberapa anak syarikat di Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) yang mana tarikh kontrak individu tertentu belum luput, tetapi, kontrak mereka ditamatkan dan diganti dengan pemimpin dari UMNO. Ini jelas melanggar perjanjian tersebut,” katanya.

Ditanya kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa tidak wujud perjanjian berhubung pelantikan Timbalan Perdana Menteri sebelum ini, Wan Saiful berkata, beliau sendiri tidak tahu mengapa Abdul Hadi membuat kenyataan sedemikian.

“Sebagai satu keluarga, mungkin elok kita rujuk kepada pihak ‘dalaman’ dulu sebelum buat kenyataan yang mungkin boleh timbulkan salah faham. Alhamdulillah, penjelasan dibuat bahawa Pas pun memang terlibat dalam perjanjian itu,” katanya.

 



Comments
Loading...