UMNO hancur jika pemilihan parti diadakan sebelum PRU-15 – Ahmad
“Hancur leburlah UMNO. Kita tidak boleh tergesa-gesa membuat pemilihan parti kerana akan berlaku pecah-belah di dalam parti jika ia diadakan dalam masa terdekat ini.
(Malaysia Gazette) – Jika Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) tidak meluluskan permohonan UMNO untuk meminda perlembagaan parti menangguhkan pemilihan, ia akan melemahkan parti itu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, UMNO akan menghadapi masalah besar jika terpaksa melakukan pemilihan terlebih dahulu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Hancur leburlah UMNO. Kita tidak boleh tergesa-gesa membuat pemilihan parti kerana akan berlaku pecah-belah di dalam parti jika ia diadakan dalam masa terdekat ini.
“Kami telah membuat kajian berkali-kali jika pemilihan UMNO dilakukan sebelum PRU-15. Ia adalah kesan yang negatif kepada kekuatan UMNO,” katanya menerusi program SKOP MG bertajuk UMNO, Apa Cerita RoS? di sini malam tadi.
Bagaimanapun Ahmad tetap positif menantikan jawapan keputusan RoS.
“Setiausaha Agung PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), (Datuk Seri Hamzah Zainudin) amat tahu mengenai perkara ini tentunya dia akan menolong UMNO untuk memastikan UMNO kukuh sebelum pilihan raya.
“Saya berharap Setiausaha Agung PPBM akan jaga RoS, tidak akan ada apa-apa halangan dan beliau ada sebutkan bahawa RoS itu independent (bebas) tapi betul ke?
“Kita harap benar RoS boleh buat keputusan secara profesional dan MCA sudah diluluskan dan UMNO juga boleh mendapat keputusan yang sama,” jelasnya.
Ahmad berkata, tidak sukar untuk RoS memberikan keputusan kerana ia tidak memerlukan masa yang lama seperti kes MCA yang meminda perlembagaan parti ketika awal-awal Covid-19 menyerang Malaysia selain ada halangan lain.
Ditanya mengenai jika keputusan tidak memihak kepada UMNO, Ahmad berkata, pihaknya sudah mempunyai jadual bermula September hingga Disember tahun ini.
“Kami sudah buat keputusan akan ada Persidangan UMNO Cawangan pada September. Kemudian bagi ruang iaitu bulan Oktober jika ada yang mahu buat persidangan semula.
“Bulan November pula, mesyuarat perwakilan untuk 191 Bahagian UMNO diikuti pada bulan Disember Perhimpunan Agung UMNO. Jadual sudah ada.
“Di dalam jadual itu, adakah ada atur cara pemilihan? Jika RoS luluskan tidak adalah pemilihan, jika tidak lulus, kami ada pelan B cuma tak boleh cakap lagi,” jelasnya.
Katanya lagi, biar pun ada suara luar mahu pemilhan UMNO dilakukan segera tetapi akar umbi parti itu telah mewakilkan kepada 2,666 perwakilan untuk membuat keputusan.
“Pada Perhimpunan Agung UMNO pada Mac 2022 telah memutuskan PRU-15 dahulu barulah pemilihan. Dalam ucapan-ucapan perwakilan juga mereka sudah sebutkan perkara itu, sebab itu kita buat mesyuarat luar biasa (EGM) untuk memenuhi apa yang diputuskan oleh perwakilan iaitu hendaklah pilihan raya dulu barulah pemilihan.
“Kita sudah buat perkara ini beberapa siri sebelum ini,” katanya lagi.
UMNO membuat pindaan terhadap perlembagaan parti itu bagi menangguhkan pemilihan parti untuk tempoh 18 bulan atau enam bulan selepas PRU-15.