Siasat kemungkinan Apandi subahat dalam jenayah 1MDB – Tun Dr Mahathir


(Suara TV) – Kerajaan hari ini bertanggungjwab untuk menyiasat kerana terdapat unsur kolusi (collusion) dan subahat (complicity) membabitkan Tan Sri Mohamed Apandi Ali di dalam jenayah 1MDB.

Hal ini bagi memastikan penyamun-penyamun negara yang terbabit di dalam jenayah terancang ini diadili dan dihukum,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Satu siasatan perlu dilakukan terhadap Apandi sama ada dia membuat keputusan menyucikan 1MDB dahulu kerana hubungannya dengan Jho Low.

“Ini bukan sahaja satu conflict of interest. Lebih daripada itu, ia adalah satu jenayah terancang untuk mencuri harta rakyat dan negara serta ini melibatkan bukan sahaja Datuk Seri Najib Razak dan Jho Low tetapi juga Apandi,” gesanya dalam entri terbaru di blognya pada Jumaat.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, laporan-laporan berita bahawa Apandi bertindak sebagai orang tengah untuk Jho Low amatlah mengejutkan.

“Pertamanya, Apandi ketika menjadi Peguam Negara telah menyatakan tidak berlaku sebarang jenayah berkaitan dengan 1MDB serta menyucikan Perdana Menteri ketika itu Najib.

“Pendirian Apandi itu berlaku di waktu beberapa negara luar telah mengambil tindakan terhadap bank-bank dan orang persendirian yang terbabit dengan jenayah 1MDB,” jelasnya.

Susulan itu, kata Mahathir apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil-alih kerajaan, perkhidmatan Apandi tidak dilanjutkan kerana sikap dan tindakannya menyucikan 1MDB secara langsung adalah kegagalannya melaksanakan amanah dan tanggungjawab negara.

Selain itu menurut beliau, tindakan Apnadi juga secara langsung mempertahankan jenayah-jenayah yang telah dilakukan oleh Najib dan sekutu-sekutunya termasuk Jho Low.

“Hari ini hakim-hakim mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan telah mendapati perlakuan jenayah tetap berlaku di dalam 1MDB dan menghukum penjara Najib kerana kesalahan-kesalahan berkaitan 1MDB.

“Sepatutnya Apandi merasa bersalah dan menyesal kerana pendiriannya menyekat jenayah 1MDB dari dihadap ke mahkamah.

“Sekarang, dia sanggup menjadi orang tengah untuk Jho Low mendapat penyelesaian dan diberitakan dengan membayar Kerajaan Malaysia RM1.5 billion. Ini bermakna Jho Low bersalah. Jika tidak bersalah kenapa menawar wang untuk menyelesaikan tindakan terhadapnya,” bidas beliau.

Mahathir berkata, sekali lagi negara dan rakyat Malaysia ingin dianiayai oleh Apandi dan Jho Low dengan tawaran penyelesaian sejumlah wang yang sebegitu kecil berbanding dengan pencurian wang negara berjumlah puluhan billion ringgit.

“Tindakan Apandi yang sanggup bersekongkol dengan Jho Low amat mencurigakan.

“Bahkan kesediaan Jho Low membayar untuk penyelesaian membukti bahawa Jho Low mengakui kesalahan.

“Sekali lagi Apandi seharusnya mengambil sikap menyesali kesilapan atau kesalahannya yang dahulu dan bukannya mengambil upah (saya tidak percaya Apandi melakukan kerja orang tengah Jho Low secara percuma) dari penjenayah 1MDB yang Apandi telah bebaskan dahulu.

“Di sini timbul kecurigaan bahawa kerjasama Apandi dengan Jho Low telah bermula semasa dia Peguam Negara,” ujar Mahathir.

Baru-baru ini nama bekas Peguam Negara, Apandi dikaitkan sebagai mewakili ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam rundingan untuk penyelesaian dengan kerajaan berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ia susulan laporan sebuah portal berita yang memetik sumber, mendakwa Jho Low dipercayai menawarkan RM1.5 bilion kepada Kerajaan Malaysia untuk menyelesaikan pertuduhan terhadapnya berhubung kes terbabit.

Menurut laporan berkenaan yang kemudian dilapor semula oleh beberapa portal media yang lain, tawaran oleh ahli perniagaan itu yang dirunding melalui Apandi, bagaimanapun telah ditolak.

Bagaimanapun, Apandi menegaskan beliau bukan wakil Jho Low, sebaliknya telah dihubungi firma guaman antarabangsa, Kobre & Kim dari Washington, Amerika Syarikat (AS) yang memohon bantuan mengatur mesyuarat dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) pada akhir Mei lalu.

“Saya kemudian mengatur beberapa siri perjumpaan di mana wakil daripada Kobre & Kim datang ke Malaysia. Pada perjumpaan di AGC itu, kerajaan diwakili peguam negara dan pegawainya serta pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Tujuan perjumpaan itu adalah bagi berbincang untuk membawa balik dana yang didakwa diseleweng Jho Low daripada 1MDB. Selepas perjumpaan terbabit di mana pada waktu itu dilihat positif, ia kemudian dibatalkan oleh AGC secara tiba-tiba atas alasan yang hanya diketahui mereka,” katanya.

Terdahulu, AGC dalam kenyataan ringkas, mengesahkan bahawa Jho Low ada membuat tawaran penyelesaian dengan kerajaan berhubung kes berkenaan, namun ditolak oleh pihak kerajaan.

 



Comments
Loading...