RUU Anti Lompat Parti diluluskan


(Malaysia Post) – DEWAN Rakyat mencatat sejarah hari ini apabila meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti, dengan majoriti melebihi dua pertiga.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun sewaktu membacakan keputusan itu berkata, seramai 209 Ahli Dewan Rakyat bersetuju, manakala 11 lagi tidak hadir dalam bacaan kali ketiga usul berkenaan hari ini.

“Ini adalah keputusan bacaan kali yang ketiga. Undi yang bersetuju ialah 209, tidak hadir 11, maka lebih dua pertiga undi majoriti yang bersetuju.

“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah mencipta sejarah pada hari ini,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam kenyataan sebelum ini, berkata apabila RUU diluluskan, akan diadakan sesi libat urus bersama Ahli Dewan Negara pada 8 Ogos 2022.

Bacaan kali pertama di Dewan Negara adalah pada 9 Ogos 2022 diikuti bacaan kedua pada 10 Ogos 2022 dan setelah mendapat kelulusan Dewan Negara, RUU itu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Pewartaannya dijangka bakal dibuat di antara 29 Ogos hingga 2 September 2022.

 



Comments
Loading...