Jawatan TPM bukan isu relevan ketika ini


(Berita Harian) – Pelantikan Timbalan Perdana Menteri bukan sesuatu yang relevan dan diperlukan ketika ini kerana ia bukan saja tidak memberi manfaat kepada rakyat, malah menambah beban kewangan negara.

Justeru, jika isu Timbalan Perdana Menteri menjadi antara terma penting yang didakwa Perikatan Nasional (PN) tidak dipenuhi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perjanjian antara mereka, penganalisis politik berpendapat, PN sudah melakukan kesilapan strategi politik dengan membangkitkan perkara itu.

Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Azmi Hassan, berkata, tindakan Perdana Menteri yang tidak membuat sebarang kenyataan mengenai pelantikan Timbalan Perdana Menteri dan mengenai portfolio Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin selepas keluar daripada BERSATU mungkin menyebabkan PN mengungkit mengenai terma itu.

“Bagaimanapun, bagi saya, PN sudah melakukan kesilapan dari segi strategi politik. Ketika ini, rakyat tidak menagih kerajaan untuk mewujudkan jawatan itu kerana ada perkara lain yang lebih penting.

“Tindakan mengungkit perkara itu hanya memberi ‘bola tanggung’ kepada Perdana Menteri dan UMNO sendiri kerana seharusnya diketahui, Perdana Menteri tidak akan melayan tuntutan ini kerana tidak ada keperluan.

“Selain itu, Perdana Menteri yang dilihat bertolak ansur dengan PN sebelum ini berkeras dalam isu ini dengan tidak membuat kenyataan mengenainya kerana UMNO dan BERSATU adalah seteru dalam pilihan raya kelak, jadi ini memberi tamparan kepada BERSATU,” katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam satu kenyataan, berkata PN kecewa dengan Perdana Menteri kerana dilihat tidak bersungguh dalam memenuhi terma penting yang terkandung dalam perjanjian antara mereka.

Pendirian itu dinyatakan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN malam kemarin, yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN merangkap Presiden BERSATU.

Hamzah bagaimanapun tidak memperincikan terma penting yang dimaksudkan.

Mengenai sama ada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) semakin hampir selepas Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 diluluskan semalam dan tiada lagi memorandum persefahaman (MoU) baharu dimeterai antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH), Azmi berkata, ia sebenarnya memberi kelebihan kepada Perdana Menteri dan UMNO untuk menentukan masa yang sesuai bagi PRU.

“Tidak semestinya PRU semakin dekat tetapi ia memberi senjata yang kuat kepada Perdana Menteri dan UMNO untuk menentukan tarikh mengikut kesesuaian dan kekuatan parti ketika itu.

“Dengan kelulusan RUU itu, tidak akan berlaku lagi pertukaran parti dalam kalangan wakil rakyat UMNO seperti yang berlaku sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata kewujudan jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak akan mengubah apa-apa keadaan, malah tidak menjanjikan kerajaan sedia ada menjadi lebih baik.

“Tuntutan jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak diendahkan Perdana Menteri dan ditentang UMNO. Buat masa ini, tuntutan jawatan ini tidak relevan kerana ia hanya menambah beban kewangan negara dengan saiz besar Kabinet sedia ada,” katanya.

Beliau bagaimanapun berpandangan, kelulusan RUU dan tindakan tidak menyambung MoU memberi isyarat yang PRU-15 semakin hampir dan kemungkinan diadakan selepas pembentangan Bajet 2023.

“Kerajaan tidak berhasrat menyambung MoU kerana hampir semua tuntutan berjaya dipenuhi, malah PH berkata, hampir semua tuntutan berjaya dilaksanakan.

“Tanpa MoU, kerjasama antara kerajaan dan pembangkang masih boleh dijayakan demi kepentingan rakyat dan pada masa sama, keputusan ini juga ada kaitan dengan pendirian UMNO untuk tidak meneruskan MoU,” katanya.

 



Comments
Loading...