Orang Melayu masih tidak boleh terima DAP, kata Pejuang


(Malaysiakini) – Orang Melayu secara umumnya kekal tidak boleh menerima politik dan ideologi yang dibawa DAP, kata Timbalan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Marzuki Yahya.

Katanya, ini dapat dilihat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini apabila undi Melayu kepada PKR mengalami kemerosotan.

“Orang Melayu secara umumnya, kekal tidak boleh menerima parti DAP, politik dan ideologi mereka.

“Penolakan ini juga kelihatan lebih jelas dalam PRN Johor kepada PKR apabila sokongan Melayu kepada PKR jatuh dari 27 peratus kepada 9 peratus.

“Semua data ini menunjukkan perpecahan di kalangan politik Melayu. Orang Melayu hari ini seolah-olah terperangkap untuk memilih antara dua kedurjanaan sama ada memilih pemimpin Melayu yang korup atau kepimpinan politik berbilang kaum (multi-racial) yang dilihat menentang atau mengetepikan agenda orang Melayu,” katanya.

Marzuki berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja pada persidangan meja bulat Penjenamaan Semula Naratif Politik Melayu, di Seri Kembangan, Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, orang Melayu dimomokan dengan kemenangan BN pada PRN Melaka dan Johor sebagai tanda orang Melayu telah kembali kepada parti itu.

Namun, hakikatnya 23 peratus undi BN pada PRN Johor sebenarnya adalah jumlah undi yang sama dimenangi oleh BN pada PRN Johor ke 14 dengan hanya kurang satu peratus pertambahan undi.

Dengan jumlah 379,886 undi, Umno hanya mampu mengekal 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun dengan jumlah undi yang lebih kurang sama, Umno telah menguasai dua pertiga kerusi DUN Johor.

“Nyatanya, jumlah ini sebenarnya tidak mewakili keseluruhan sokongan orang Melayu pada satu parti tertentu.

“Walau bagaimana pun sesuatu yang harus diperakui, 45 peratus pengundi yang tidak keluar mengundi juga memberi indikasi bahawa parti pembangkang sam aada berbangsa berbilang-kaum atau cuba mengetengahkan alternatif kepada orang Melayu; masih tidak dapat diterima naratif atau tawaran mereka,” katanya.

Tambahnya lagi, sebahagian rakyat termasuk orang Melayu mengalami defisit kepercayaan kepada politik.

Manakala 13 peratus orang Melayu pula mencari alternatif kepada parti Melayu dan memilih Perikatan Nasional (PN).

 



Comments
Loading...