Kesal ‘orang BN’ jadi lidah pembangkang, burukkan ekonomi negara – PM
(Malaysia Gazette) – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan rasa kesal kerana terdapat segelintir individu dalam Barisan Nasional (BN) menjadi lidah pembangkang yang memberi gambaran buruk terhadap situasi ekonomi di negara ini.
Beliau berkata, walaupun dunia luar menilai pertumbuhan ekonomi Malaysia semakin pulih, namun rakyat sendiri memberi tafsiran negatif hingga menakutkan pelabur asing untuk datang ke negara ini.
“Orang kita sendiri yang menilai ekonomi Malaysia itu buruk itu, tak nak peduli apa dikatakan Forum Ekonomi Dunia (WEF), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) atau Bank Dunia, semua memberi pandangan bahawa ekonomi Malaysia semakin pulih dan baik.
“Saya tidak ada masalah pembangkang mempertikaikan kerana pembangkang memang kerja dia membangkang. Akhirnya kita di dalam BN dan penyokong kerajaan terperangkap dengan persepsi yang dibawa oleh pembangkang.
“Bukan sahaja kita percaya, kadang-kala kita yang membawa cerita pembangkang untuk disebarkan kepada rakyat mengatakan kerajaan gagal dari segi ekonomi, negara kita banyak berhutang akan jadi seperti Sri Lanka,” katanya berucap merasmikan Konvensyen BN Selangor, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ekonomi Malaysia yang semakin pulih dapat dilihat berdasarkan nilai jualan perdagangan borong dan runcit negara mencatatkan rekod baharu iaitu RM129.8 bilion pada Mei, tertinggi sejak 2013 pada Mei.
Dalam perkembangan sama, walaupun seluruh negara berdepan inflasi, namun kadarnya di Malaysia lebih rendah berbanding negara jiran dan negara Eropah lain.
“Kadar inflasi Zon Eropah ialah 8.6 peratus pada Jun 2022, meningkat dari 8.1 peratus pada Mei 2022. Kadar inflasi di Amerika Syarikat juga meningkat 9.1 peratus pada Jun 2022 (Mei 2022: 8.6%).
“Kadar inflasi di Malaysia ialah 3.4 peratus adalah lebih rendah daripada Thailand (7.7%), Filipina (6.1%), Korea Selatan (6.0%) dan Indonesia (4.4%),” katanya.
Menurut Perdana Menteri, kajian yang dilaksanakan oleh WEF mendapati Malaysia adalah negara kedua terbaik di rantau Asia Tenggara dalam indeks daya saing dan berada di tangga ke-32 dunia.
“Dunia menilai Malaysia lebih baik disebabkan kita mempunyai asas yang kuat. Kita terlalu banyak menghabiskan masa memikir dan membincang yang buruk dan tidak baik hingga kita lupa dan tidak percaya dengan kekuatan sendiri,” katanya.