Tak layan teguran TLDM, Najib dan Zahid perlu perjelas


Naib Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Zaidel Baharuddin, berkata sekurang-kurangnya 10 surat teguran dibuat bekas Panglima TLDM, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, ketika itu tetapi langsung tidak dilayan oleh kerajaan ketika itu.

(Berita Harian) – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, perlu memperjelas mengapa teguran dibuat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berhubung projek kapal tempur pesisir (LCS) tidak dilayan.

Naib Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Zaidel Baharuddin, berkata sekurang-kurangnya 10 surat teguran dibuat bekas Panglima TLDM, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, ketika itu tetapi langsung tidak dilayan oleh kerajaan ketika itu.

Katanya, teguran itu amatlah serius kerana datang daripada bekas Panglima TLDM yang secara terang dan jelas menyatakan bahawa projek ini amatlah diragukan dan secara rasmi membantah akan kepincangan ini.

“Mantan Panglima TLDM juga membangkitkan mengenai kegusaran tatacara perolehan yang dikatakan ‘gravely wrong’ (tersangat meragukan atau salah).

“Satu kegilaan apabila Menteri Pertahanan tidak mendengar nasihat dan pandangan pengguna sendiri (TLDM) dalam isu ini.

“Wajib untuk Najib dan Zahid menjawab beberapa persoalan termasuk mengapa langsung teguran Panglima TLDM tidak dilayan dan apakah surat teguran itu sudah dijawab dan dibalas oleh Menteri Pertahanan dan Perdana Menteri ketika itu?” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kapal Tempur Pesisir (LCS) sewaktu upacara penamaan dan pelancaran di dermaga Boustead Naval Shipyard, pangkalan TLDM Lumut, pada 24 Ogos 2017. - Foto fail NSTP
Kapal Tempur Pesisir (LCS) sewaktu upacara penamaan dan pelancaran di dermaga Boustead Naval Shipyard, pangkalan TLDM Lumut, pada 24 Ogos 2017. – Foto fail NSTP

 

Khamis lalu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengumumkan sembilan rumusannya sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam LCS bernilai RM9 bilion.

Melalui laporan PAC itu, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

BNS adalah anak syarikat Boustead Holdings Bhd, yang mana pemegang saham terbesarnya adalah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Zaidel berkata, Najib dan Ahmad Zahid juga perlu menjawab bagaimana keputusan untuk mengubah reka bentuk asal daripada kapal tempur jenis SIGMA kepada kapal tempur jenis GOWIND, dibuat.

Katanya, kedua-dua pemimpin itu perlu menjawab atas nasihat siapa dan arahan siapa keputusan mengubah reka bentuk asal kapal berkenaan dibuat.

“Najib dan Ahmad Zahid juga perlu menjawab kenyataan mantan Panglima TLDM yang memberikan gambaran bahawa kuasa dalam menentukan spesifikasi dan perjalanan projek sepenuhnya kepada BNS dan bukan kepada TLDM.

“Perkara ini amatlah serius kerana datang dari mantan Panglima TLDM yang secara terang dan jelas menyatakan bahawa projek ini amatlah diragukan dan secara rasmi telah membantah akan kepincangan ini.

“Najib dan Zahid tak usahlah berdolak-dalik dengan mengaitkan perkara yang remeh seperti isu protokol pelancaran kapal atau menyorok di balik kepentingan kerahsiaan demi keselamatan negara,” katanya.



Comments
Loading...