Isu LCS: AGC akan buat keputusan secepat mungkin


(Utusan TV) – Pejabat Peguam Negara (AGC) akan melaksanakan keputusan secepat mungkin melibatkan isu perolehan projek kapal tempur pesisir (LCS).

Memetik laporan BH Online, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun meminta rakyat Malaysia bersabar sementara kertas siasatan yang sudah pun diserahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diteliti AGC.

“AGC akan buat keputusan ‘asap’ (secepat mungkin), please bear with us (minta bersabar),” katanya.

Khamis lalu, SPRM dalam kenyataan memaklumkan telah melengkapkan siasatan terhadap beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan dakwaan penyelewengan projek LCS.

Menurut SPRM, kertas siasatan tersebut telah dikemukakan kepada AGC.

SPRM turut menyarankan kepada AGC untuk mempertimbangkan pertuduhan terhadap beberapa individu.

Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta SPRM menyegerakan siasatan berhubung isu LCS yang hangat diperkatakan.

Perkara tersebut dibincang secara terperinci dan diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Baca artikel berkaitan: Isu LCS: SPRM lengkapkan siasatan, saran pertuduhan beberapa individu

Sekiranya terdapat bukti kukuh, Perdana Menteri menegaskan Peguam Negara perlu membuat pendakwaan dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Malah, Perdana Menteri memaklumkan telah memanggil Idrus dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki selepas mesyuarat Jemaah Menteri untuk segera bertindak selaras keputusan mesyuarat.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam kapal LCS bagi kegunaan TLDM bernilai RM9 bilion.

Melalui laporan PAC itu, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

PAC dalam laporannya berhubung projek itu turut memaklumkan kajian daya maju (due diligence) yang dilakukan kerajaan terhadap syarikat BNS untuk pembinaan lima kapal LCS TLDM gagal mengesan masalah kewangan syarikat itu.

Ia dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.

 



Comments
Loading...