Tun M hasrat dirikan kerajaan, pulih semula negara melalui GTA
(Malaysia Gazette) – Gerakan Tanah Air (GTA) yang dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad akan bertanding di 120 kerusi Parlimen dan 280 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Presiden GTA itu berkata, jumlah kerusi itu hanya di Semenanjung dan tidak termasuk Sabah yang mana mempunyai ahli Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) paling ramai setakat ini.
“Kita akan bertanding dalam 120 kerusi di Semenanjung dan 280 DUN. Ini tak termasuk (kerusi) di Sabah.
“Di Sabah pun kita dapati banyak sokongan kepada kita dan kita akan tentukan juga mereka akan sedar mengenai masalah yang menimpa orang Melayu dan mereka setakat ini amat berminat bekerjasama dengan kita.
“Bahkan, bagi parti Pejuang yang bilangan ahli terbanyak sekali di Sabah. Kita tak boleh abaikan Sabah,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat GTA di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Turut hadir, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Presiden Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali; Presiden Berjasa, Zamani Ibrahim; Presiden Parti Iman, Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak; beberapa wakil NGO dan individu.
Menurut Dr. Mahathir, dalam mesyuarat itu, mereka berbincang panjang lebar berkenaan beberapa isu dalam usahanya hendak menerangkan kepada orang ramai apa GTA.
Beliau yakin, perjuangan gerakan itu adalah untuk orang Melayu, bangsa Malaysia dan agama.
“Kita sudah sampai ke tahap yang mana dalam negara yang kaya ini, orang Melayu miskin, orang lain yang kaya.
“Kita bukan nak rampas harta orang lain, kita sanggup berkongsi dengan orang lain, tetapi perkongsian itu hendaklah adil bagi orang Melayu seperti juga kepada orang lain.
“Itulah perjuangan kita dan kita berhasrat mendirikan kerajaan yang bersih yang akan pulihkan semula negara kita,” ujar beliau.
Beliau yang juga Pengerusi Pejuang bagaimanapun, menolak untuk bekerjasama dengan UMNO kerana mendakwa parti itu dipimpin oleh penjenayah.
Sedangkan, katanya, pemimpin GTA bersih dari gejala itu.