Mengapa Najib dibiarkan bersendirian?
Hussaini Amran, Malaysia Gazette
MEMANG menyedihkan bila memikirkan nasib yang dialami bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mula menjalani hukuman penjara sejak kelmarin. Ramai rakyat biasa terutamanya golongan B40 yang banyak menerima bantuan semasa pentadbiran beliau dahulu berdukacita.
Lebih menyedihkan, Najib yang juga bekas Presiden UMNO seolah-olah bersendirian setelah Mahkamah Persekutuan membuat keputusan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta setelah didapati bersalah dalam kes SRC International Sdn. Bhd.
Yang hadir memberi sokongan kepada beliau di mahkamah kebanyakannya adalah penyokong akar umbi UMNO dan pengikut yang setia bersama Bossku semasa beliau susah dan senang. Mungkin ada nama-nama besar UMNO yang turut hadir namun kelibat mereka terlindung agaknya di sebalik penyokong Najib yang ramai itu.
Bilangan pemimpin UMNO yang secara terbuka menyatakan simpati kepada Najib pada hari beliau masuk penjara boleh dibilang dengan jari. Antaranya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Naib Presiden, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan, Ketua Penerangan, Shahril Hamdan; Ketua Pemuda, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan serta beberapa Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) seperti Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi, Datuk Mohd. Alwi Che Ahmad, Tan Sri Noh Omar dan Isham Jalil.
Setakat ini, belum dapat dilihat dalam media sosial coretan simpati pemimpin-pemimpin UMNO yang lain, lebih-lebih lagi yang mempunyai jawatan dalam Kabinet dan kerajaan. Mungkin mereka menyuarakannya dalam hati.
Memang besar jasa Najib terhadap UMNO sehingga sanggup mengorbankan diri demi kelangsungan parti yang dianggotai lebih tiga juta orang. Namun, di mana suara tiga juta orang itu ketika Bossku bermalam di penjara?
Tidak ramai yang bersuara lantang mempertahankan Najib termasuk dalam isu kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ‘ghaib’ walaupun dikatakan telah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara (AGC). Yang sering kedengaran suara Mohd. Puad namun selepas itu tidak disahut oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang lain.
Malah, yang tampil membuat laporan polis dalam isu melibatkan suami Ketua Hakim Negara pun adalah seorang bekas pemimpin Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman. Di mana pula pemimpin-pemimpin yang masih bersama UMNO dalam isu ini?
Begitu juga dengan Zamil Ibrahim yang merupakan bekas Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK). Beliau yang membuat laporan kepada SPRM berhubung dakwaan konflik kepentingan melibatkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali dalam kes SRC International Sdn. Bhd. Mengapa bukan pemimpin muda UMNO yang berbuat demikian?
Jauh berbeza dengan suasana panas yang melanda negara ketika Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dua kali meringkuk dalam penjara pada 1999 dan 2014 dahulu. Selain penganjuran demonstrasi jalanan, pemimpin-pemimpin PKR dan parti-parti pembangkang yang lain secara berterusan menyuapkan naratif ‘Anwar tidak bersalah’ kepada para penyokong mereka dan rakyat.
Semangat setiakawan mereka terhadap Anwar adalah jauh lebih tinggi berbanding apa yang diperlihatkan oleh sebahagian besar pemimpin UMNO ketika ini. Seolah-olah mereka berpendirian: “Najib sudah masuk dalam. Kita teruskan sahaja kehidupan seperti biasa.”
Apakah Najib hanya diangkat dan julang ketika ada kuasa dan ketika dilanda musibah, beliau dibiarkan begitu sahaja?
Dari segi positifnya, pemimpin-pemimpin dan penyokong UMNO menunjukkan sikap tertib dan menghormati keputusan mahkamah walaupun yang dimasukkan ke dalam penjara itu adalah tokoh yang pernah menjadi Presiden mereka.
Mungkin juga mereka terkejut dan beremosi dengan keputusan mahkamah terhadap Najib dan perlu mengambil masa untuk menenangkan fikiran sebelum mengeluarkan kenyataan termasuk meluahkan simpati. Hanya Allah SWT yang tahu apa dalam hati mereka.
Apa yang pasti, majoriti rakyat Malaysia tidak melupakan segala jasa Bossku terhadap mereka dan negara sentiasa mengenang pelbagai kebaikan yang pernah dilakukannya sewaktu menjadi Perdana Menteri dahulu.