Serangan terbuka kepada PM boleh timbulkan krisis UMNO


(Malaysia Gazette) – Pergerakan Wanita UMNO mengakui terkesima dengan keputusan mahkamah berkaitan kes yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak.

Sayap parti itu juga turut merasai kehilangan seorang pemimpin apabila mantan perdana menteri itu disabitkan kesalahan dan menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang pada Selasa lalu.

Namun Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Zarina Abdol Majid tidak dapat menyembunyikan kekhuatirannya urutan daripada kes itu yang dilihatnya parti semakin celaru apabila ada pihak menyeret nama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula.

Katanya, serangan terbuka dan memalukan terhadap Ismail Sabri kononnya perdana menteri itu tidak membantu Najib mampu mengheret parti dalam krisis dan boleh melemahkan kesatuan UMNO.

“Kenapa PM harus dipersalahkan? Apa kuasa PM dalam prinsip pengasingan kuasa antara eksekutif, legislatif dan judisiari.

“Kerosakan prinsip ini telah lama berlaku dan sudah sampai masanya kita melalui reform untuk pengasingan kuasa ini.

“Apakah kerosakan yang telah berlaku sebelum ini harus juga dilakukan dan diamalkan oleh Perdana Menteri sekarang?” soal beliau menerusi kenyataannya kepada sebuah portal hari ini.

Menurut Zarina, lebih parah apabila serangan dari dalam UMNO itu dihalakan terus kepada “poster boy” yang parti jadikan faktor kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Kata beliau, bukti penerimaan rakyat terhadap kerajaan Keluarga Malaysia yang dipimpin Ismail Sabri amat jelas.

Jelasnya, Ismail Sabri telah membawa negara ini pada kedudukan yang stabil dalam politik sekali gus meletakkan ekonomi rakyat dan negara sebagai keutamaan serta memacu ekonomi negara pada tahap terbaik.

“Usaha yang diambilnya setahun ini bukan sesuatu yang mudah, Malah bukan semua pemimpin mampu membawa negara keluar dari masalah besar ini terutama selepas dunia melalui fasa kemerosotan dan kejatuhan disebabkan pandemik Covid-19.

“Apakah sebagai pendokong UMNO sukar untuk kita sedikit bersyukur setelah Allah memberikan teguran apabila kalah dalam PRU-14?

“Dengan peluang kebangkitan UMNO sehingga Allah angkat darjat kita menjadi kerajaan kembali dalam masa yang singkat merupakan hadiah yang harus disyukuri bukan dikufuri,” katanya.

Kata Zarina lagi, seharusnya dalam keadaan begini, semua dalam parti harus melakukan perancangan dan mencipta strategi dengan baik untuk kemenangan, bukan bercakap tin kosong yang berbunyi kuat, tetapi tiada isi di dalamnya.

“Dari dulu orang kita sememangnya hebat mengkritik kepimpinan sendiri. Bertegang leher sesama ahli parti. Menegakkan benang yang basah demi menjadi juara dalam pasukan sendiri, tetapi menikus dengan musuh yang nyata.

“Tidak tercalar walau sedikit pun musuh kita ketika berlawan dengan mereka, tetapi apabila bergaduh sesama sendiri sehingga menggoyahkan tiang seri utama perpaduan dalaman parti.

“Fokus kita ialah untuk menang PRU-15 yang akhirnya akan menjadikan BN sebagai kerajaan yang kuat dan utuh. Dari kekuatan inilah kita mampu memperbaiki kerosakan yang pernah dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), ujar beliau.

Katanya, segala kepincangan dalam aspek pentadbiran kerajaan akibat dari kegagalan kerajaan PH dahulu dapat dibetulkan dan menjadikan negara Malaysia yang stabil dan sejahtera demi rakyat.

 



Comments
Loading...