Ismail tak pernah janji segerakan kes mahkamah Zahid, Najib, kata pegawai khas


(FMT) – Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak pernah berjanji dengan mana-mana pihak untuk menyegerakan kes mahkamah melibatkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri, Najib Razak, kata pegawai khas perdana menteri, Kamarul Zaman Yusoff.

Beliau berkata, Ismail juga tidak pernah berjanji dengan mana-mana pihak untuk menukar peguam negara sebaik beliau menjawat jawatan perdana menteri.

“Sesuatu yang amat mendukacitakan sekali bila Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Lokman Noor Adam di dalam siaran beliau pada malam Hari Kemerdekaan, 31 Ogos 2022, telah membuat beberapa dakwaan liar yang merosakkan nama baik Ismail selaku perdana menteri dan naib presiden kanan Umno.

“Suka dijelaskan bahawa tidak ada di dalam mana-mana butiran perjanjian tersebut pernyataan bahawa Ismail telah berjanji tidak akan menukar peguam negara atau bahawa ‘Ismail berjanji akan menyegerakan kes-kes Zahid dan juga Najib’,” katanya dalam kenyataan.

Kamarul berkata, satu laporan polis telah dibuat terhadap tuduhan jahat itu.

“Adalah diharapkan agar usaha mana-mana ‘Trojan Horse’ untuk memecah-belahkan parti dari dalam atau untuk menjatuhkan kerajaan semasa akan menemui kegagalan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Lokman, baru-baru ini, yang mendakwa Ismail telah berjanji dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin untuk tidak menukar peguam negara, dan pada masa sama akan menyegerakan kes melibatkan Najib dan Zahid.

Semalam, Kamarul membuat laporan polis terhadap Lokman kerana didakwa membuat kenyataan fitnah terhadap Ismail.

Sementara itu, Kamarul berkata, perjanjian tersebut, yang disebut – ‘Perjanjian Persefahaman Bagi Mengikat Usahasama Dan Kesepaduan Politik Serta Protokol Untuk Pembentukan Kerajaan Baharu’ telah ditandatangani antara Ismail dan Muhyiddin selaku pengerusi Perikatan Nasional (PN), pada 17 Ogos 2021.

Katanya, perjanjian itu dimeterai antara kedua-dua pemimpin politik tersebut bagi menjamin kestabilan kerajaan persekutuan selagi belum capai tarikh pembubaran Parlimen untuk pilihan raya umum seterusnya.

Namun, Kamarul berkata, tiada butiran yang pelik, meragukan, apatah lagi merugikan kepentingan Umno.

Katanya, sebaliknya butiran yang ada hanyalah seperti “jumlah anggota Jemaah Menteri dan timbalan menteri yang diperuntukkan kepada parti dikekalkan.

Turut dipersetujui, adalah pengekalan pelantikan ahli-ahli parti anggota PN dalam badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

 



Comments
Loading...