PAS berunding dengan Umno tanpa Zahid – Hadi
(Malaysiakini) – Abdul Hadi Awang mengesahkan rundingan dengan Umno masih berjalan walaupun pemimpin tertinggi parti itu sudah beberapa kali menegaskan tiada kerjasama dengan PAS.
Bagaimanapun presiden PAS itu menegaskan rundingan tersebut tidak melibatkan pemimpin utama Umno, Ahmad Zahid Hamidi.
Ditanya mengenai sikap yang dinyatakan presiden Umno berkali-kali sebelum ini, Abdul Hadi berkata, pendirian tersebut adalah hanya melibatkan Ahmad Zahid semata-mata.
Tegasnya, Umno bukan hanya memiliki presiden tetapi juga mempunyai naib-naib presiden, majlis kerja tertinggi, dan bahagian-bahagian.
“Saya anggap itu (bergerak solo dalam PRU ke-15) kenyataan presiden Umno, bukan ahli-ahli Umno, bukan akar umbi Umno,” katanya.
Ditanya sama ada rundingan berkenaan membabitkan pemimpin selain Ahmad Zahid, Abdul Hadi menjawab: “Ya, ya, ada.”
Abdul Hadi berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Muktamar PAS kali ke-68 di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut, Alor Setar, hari ini.
Terdahulu ahli parlimen Marang itu diminta mengulas kenyataan Ahmad Zahid semalam yang menyatakan Umno membuat keputusan untuk bergerak solo kerana tindak-tanduk dan sikap PAS selama ini.
Jelas Ahmad Zahid, hasrat bekerjasama yang disampaikan PAS kepada Umno hanya kerjasama politik dangkal yang tidak mengambil kira keperluan rakyat sebagaimana semangat Muafakat Nasional (MN).
Abdul Hadi hari ini menegaskan hubungan PAS dan Umno masih berjalan di peringkat akar umbi.
Dia juga mendakwa, PAS masih tetap berpegang kepada perjanjian asal dimetari di antara PAS dan Umno dalam MN.
“Kita bersetuju bukan saja Umno dan PAS, tapi termasuk Bersatu,” jelasnya.
Sementara itu Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengesahkan pihaknya turut menjemput pimpinan Umno untuk hadir ke muktamar kali ini.
Bagaimanapun, katanya, tiada seorang pun daripada mereka yang memberi respon.
“Saya mengesahkan kita jemput pimpinan Umno, tetapi tiada respon, termasuk Umno Kedah pun tiada yang hadir,” katanya.