Kestabilan politik negara penting untuk memulihkan ekonomi
(Ismaweb) – Kestabilan politik negara penting kerana memberi kesan besar kepada ekonomi negara untuk kembali pulih dan berkembang maju.
Situasi itu bukan sekadar membantu kehidupan rakyat, tetapi juga memberi keyakinan kepada pelabur-pelabur asing ke negara ini.
Penganalisis ekonomi, Prof Dr Abu Sofian Yaacob berkata, persekitaran politik yang tidak sihat, penyelewengan dan rasuah membabitkan segelintir pemimpin sangat mempengaruhi keadaan ekonomi negara.
“Bagaimana keyakinan pelabur asing boleh dicapai apabila mengetahui keadaan politik negara bermasalah selain berdepan kesan COVID-19 yang melanda seluruh dunia.
“Perkara ini hanya boleh diselesaikan apabila negara kita stabil dan memiliki pentadbiran kukuh.
“Saya jangkakan keadaan ini akan pulih apabila Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan. Ini kerana hanya melalui mandat kukuh kerajaan dapat melaksana pelbagai dasar dan polisi meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Mengulas lanjut, Prof Abu Sofian berkata, sokongan dan bantuan kerajaan perlu diteruskan dalam membantu meringankan beban rakyat yang semakin tertekan.
Beliau mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan Family Kredit kepada golongan berpendapatan rendah dengan menyalurkan bantuan melalui kerja tambahan yang dilakukan.
“Ini bukan bererti rakyat disogok bantuan semata-mata tetapi dengan usaha mereka sendiri.
“Misalnya memberi peluang golongan ini menambah pendapatan dengan pekerjaan kedua, pada masa kerajaan menyalurkan bantuan tambahan lain,” katanya.