‘Top five’ Umno belum bincang tarikh PRU15, kata PM


(FMT) – Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata, beliau belum berbincang dengan “top five” Umno berhubung tarikh pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Barisan pemimpin UMNO itu merujuk kepada Presiden Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Mohamad Hasan serta tiga naib presiden, iaitu Mohamed Khaled Nordin, Mahdzir Khalid dan perdana menteri sendiri.

Katanya, selepas berbincang dengan pimpinan tertinggi Umno, barulah beliau akan berbincang dengan MCA, MIC dan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.

“… kemudian ia perlu dibawa ke (Jemaah Menteri) sebab di bawah Perlembagaan, kena ada kelulusan mereka sebelum saya menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk (mendapat perkenan) membubarkan Parlimen.

“Itu prosedur yang perlu dipatuhi,” katanya semasa berucap pada Majlis Penyampaian Peruntukan Masyarakat Cina dan India Parlimen Bera 2022 di Dewan Kompleks Umno Bera di Padang Luas hari ini.

Walaupun tarikhnya belum diketahui, Ismail memberi bayangan ia “semakin hari ia semakin dekat”. Jika merujuk kenyataan Mohamad, katanya, PRU15 dijangka diadakan sebelum hujung tahun ini.

Justeru, Ismail mengingatkan pimpinan BN di Parlimen Bera untuk bersedia memperkemas gerak kerja jentera, termasuk berjumpa pengundi bagi mengekalkan kemenangan BN di Parlimen Bera dan dua DUN, iaitu Guai dan Kemayan.

“Saya harap pastikan di Parlimen Bera kita menang bukan dengan 2,000 majoriti tetapi 5,000 atau 10,000 majoriti,” katanya, lapor Bernama.

“Kita kena menang dengan bergaya, kena menang besar kerana seluruh Malaysia pandang kerusi Parlimen Bera. Ini kerusi perdana menteri.”

Beliau juga percaya PRU15 ialah masa terbaik bagi MCA merampas DUN Triang kerana DAP dan Pakatan Harapan (PH) gagal menunaikan janji setelah berpeluang memerintah selama 22 bulan.

“Sekarang kerusi ini (DUN Triang) diberikan kepada MCA dan MCA kena buktikan mereka boleh menang bila diberikan kerusi,” katanya.

“Ini adalah cabaran kepada MCA dan kita semua kena sama-sama bantu rampas DUN Triang yang semua orang kata akan kekal dengan DAP.”

 



Comments
Loading...