Rakyat perlu faham proses pengampunan dilaksana ikut undang-undang, titah Sultan Selangor
(FMT) – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah rakyat perlu memahami bahawa proses pengampunan perlu dilaksanakan mengikut lunas undang-undang dan prosedur diperuntukkan bawah Perlembagaan dan undang-undang berkaitan dengannya.
Baginda menyeru rakyat agar sentiasa menghormati kedaulatan undang-undang dan kebebasan Badan Kehakiman yang menjadi teras dan paksi kepada kedaulatan sistem demokrasi raja berperlembagaan yang diamalkan di negara ini.
“Sebarang tohmahan yang tidak berasas ini akan mengundang persepsi negatif terhadap kebebasan badan kehakiman dan pasti menghakis keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran keadilan negara.
“Keadaan ini juga akan secara tidak langsung menjejaskan nama baik negara di peringkat antarabangsa,” titah baginda dalam kenyataan.
Sultan Sharafuddin turut menzahirkan sokongan terhadap titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkaitan dengan kuasa prerogatif pengampunan yang tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya demi kepentingan pihak tertentu.
Baginda bertitah, kebebasan kehakiman membawa pengertian bahawa para hakim yang mengadili sesuatu kes dapat mentafsirkan undang-undang bersandarkan semata-mata kepada fakta dan keterangan tanpa rasa takut, pilih kasih dan bebas daripada sebarang pengaruh yang tidak diingini.
“Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan bahawa semua rakyat adalah sama rata di sisi undang-undang. Ini bermakna bahawa rakyat tidak mengira status, jawatan, bangsa dan keturunan adalah tertakluk dan bertanggungjawab kepada undang-undang yang sama.
“Setiap rakyat di negara ini berkehendakkan keadilan, kesaksamaan serta ketelusan daripada Badan Kehakiman atas sesuatu kes yang diadili. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk sentiasa memelihara nama baik Badan Kehakiman agar ia tidak tercemar daripada sebarang bentuk pengaruh dan tekanan,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda turut mengingatkan pihak eksekutif agar sentiasa mendukung penuh prinsip kebebasan kehakiman dan mengelak daripada sebarang cubaan untuk mempengaruhi proses pentadbiran keadilan Badan Kehakiman.
“Beta menyeru semua pihak berganding bahu dengan mengambil langkah-langkah ke arah mempertahankan dan menjamin kebebasan Badan Kehakiman demi kesejahteraan dan kemakmuran negara.
“Rakyat perlu memberi sepenuh kepercayaan kepada sistem kehakiman negara tanpa perlu melemparkan tohmahan yang tidak berasas tanpa mengetahui fakta dan alasan-alasan penghakiman terhadap sesuatu kes,” katanya.