‘UMNO, Pas, Bersatu perlu bernaung bawah satu khemah – Tun Musa Hitam


(Warta Raakay) – BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam menyarankan UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bergabung menjadi satu kumpulan parti politik yang memperjuangkan bersama kepentingan orang Melayu serta Islam.

Menurut bekas Timbalan Presiden UMNO itu, tiga parti dominan orang Melayu dan Islam tersebut perlu berbuat demikian supaya menjadi satu gabungan membela Melayu dan Islam.

Walaupun tiga parti itu bergabung membentuk satu naungan di bawah ‘khemah’ politik yang sama, beliau berpendapat, langkah itu masih belum cukup ‘kuat’ dan meluas daripada segi pengaruh serta tarikan seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Justeru disarankan UMNO, Pas dan Bersatu sekiranya bergabung di bawah ‘khemah’ yang sama, perlu memberi jaminan kepada bangsa lain sebagai tumpuan perjuangan mereka.

“Masalah ideologi mereka tak begitu jelas, bercampur aduk. Macam UMNO, mereka kata parti Melayu, Islam. Pas kata sama. Ada parti baharu pula seperti Bersatu juga katakan Melayu dan Islam. Ideologinya, bunyi macam sama.

“Kalau boleh idea mereka ini bersama iaitu simple solid group dan menggelar parti ini mempromosikan kepentingan Melayu dan Islam. Secara prinsip dan dalam masa sama, kumpulan ini harus beri jaminan kepada bangsa dan agama lain yang akan diterima sebagai kumpulan rakyat Malaysia yang dilindungi.

“Seperti PKR pula, parti itu terdiri daripada parti politik yang mengatakan mereka percaya akan multiracialisme (pelbagai bangsa)…ada daya penarik mereka sendiri bukan sahaja dalam kalangan bukan Melayu, ada muda mudi Melayu yang tertarik kepada kumpulan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu Sembang Kopi anjuran Persatuan Anak Melayu Johor (PAMJ) bertajuk Melayu; Membina Penyatuan dan Menyuburkan Integriti di Kuala Lumpur, hari ini.

Tokoh wartawan, Tan Sri Johan Jaafar, bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut ‘daya penarik’ parti bukan berpaksikan Melayu seperti DAP, Musa berkata, beliau pernah dijemput ke pelancaran buku Lim Kit Siang dan terkejut kerana mendapati ramai hadirin adalah orang Melayu dalam kalangan orang muda.

Katanya, ini menunjukkan DAP dan PKR memiliki ideologi yang meluas sehingga dapat menarik orang Melayu-Islam menyokong parti bukan Melayu itu.

“Saya nak beritahu dengan terus terang, waktu Lim Kit Siang melancarkan bukunya. Dia jemput, saya pergi…bila saya pergi orang cakap ‘kenapa kau pergi?’. Saya balas ‘kenapa tidak’.

“Yang anehnya saya masuk dalam dewan itu, saya tengok banyak yang bertudung, budak Melayu. Ini serius, ramai betul. Ini tidak nampak macam mesyuarat DAP tetapi mereka penyokong dan ahli DAP. Itu keadaannya.

“Sebabnya, DAP dan PKR saya nampak dia punya ideologi lebih luas daripada (parti) yang Melayu dan Islam. Kepada yang menganggap dirinya parti politik yang mewakili orang Melayu, Islam…mereka harus memperluaskan ideologi untuk diterima dalam kalangan orang Malaysia secara besarnya.

“PKR kebanyakan boleh kita anggap sebagai liberal demokratik racial…itu pandangan saya. PKR, saya nampak merupakan kumpulan idealisme Malaysia,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Pada masa sama, Musa menyifatkan konsep ketuanan Melayu wujud disebabkan pegangan orang Melayu yang taasub.

Beliau berkata, ia wujud ketika negara ini bergelar Tanah Melayu sekali gus membuatkan orang Melayu menggunakan konsep berkenaan bagi melindungi kepentingan bangsa berkenaan.

Namun, katanya konsep sedemikian tidak lagi relevan terutama sekali selepas negara merdeka, yang menyaksikan segala-galanya berubah dan Malaysia kini bukan lagi sebuah negara Melayu sepenuhnya.

 



Comments
Loading...