‘Tanya rakyat mereka marah BN atau tak jika PRU15 pada musim banjir’


(Malaysiakini) – Perdana Menteri tidak menjawab secara terus apabila ditanya jika tiada masalah untuk melaksanakan PRU15 pada akhir tahun ini, iaitu ketika musim tengkujuh yang menyebabkan banyak kawasan di Malaysia dilanda banjir.

Ia selepas Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dilihat tetap mahukan PRU15 dilaksanakan tahun ini.

Ketika ditemui pemberita hari ini, Ismail Sabri berkata dia akan membincangkan tarikh yang sesuai dengan empat pemimpin tertinggi Umno yang lain tak lama lagi, di mana mereka boleh membincangkan semua perkara berhubung pelaksanaan pilihan raya, termasuk dari segi cuaca.

“Kita belum bincang dalam ‘top five’ (pemimpin Umno, termasuk dirinya) dari segi menetapkan tarikh PRU15,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Dasar Tenaga Kebangsaan 2022-2040 di Putrajaya, hari ini.

Namun, ketika diminta mengulas lebih lanjut berhubung sama ada PRU15 ketika musim tengkujuh akan memberi manfaat kepada BN atau mencetuskan kemarahan pengundi, dia mencadangkan agar media bertanya kepada orang ramai untuk melihat sentimen mereka.

“Itu soalan yang bagus. Media boleh wawancara rakyat (sama ada mereka menerima atau marah terhadap BN jika PRU15 dilaksanakan ketika musim tengkujuh),” katanya.

Dua hari lalu, Zahid dalam satu acara BN di Kuala Lumpur dilaporkan berkata gabungan itu “sanggup redah banjir” jika PRU15 dilaksanakan ketika itu.

Selepas mengundang banyak kritikan ekoran kenyataan itu, Zahid kemudian mengeluarkan kenyataan hari ini, dengan berkata BN mahu PRU15 dilaksanakan secepat mungkin kerana tidak ingin PH terus menggunakan masa yang ada untuk mengkritik BN.

Dia juga mengingatkan bahawa PRU 1999 juga dilaksanakan pada akhir tahun, iaitu pada November.

 



Comments
Loading...