Zaid suruh Umno tolak ‘penyatuan ummah’ dan kembali kepada formula lama
(Malaysia Post) – Datuk Zaid Ibrahim menolak cadangan supaya beberapa parti politik Melayu diperkukuhkan melalui kerjasama seperti dibangkitkan pelbagai pihak mutakhir ini.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang kini bersama Umno berkata gesaan sedemikian kemungkinan lahir kerana ada pihak menganggap Umno tidak cukup kuat.
Sebaliknya, beliau menegaskan Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu kembali kepada formula lama termasuk mendapatkan semula sokongan masyarakat bukan Melayu seperti dahulu.
“Kita selalu diberitahu perlu perkukuhkan barisan kepimpinan Melayu, (penyatuan) ummah, Malay Unity dan sebagainya.
“Ini kerana mungkin kita rasa Umno tidak cukup kuat, tidak cukup mempertahankan kedudukan sebagai parti yang utama dalam pilihan raya.
“Pendekatan ini tidak menguntungkan dan tidak perlu, sebab Melayu bersatu tidak bererti ada keamanan atau kestabilan politik.
“Melayu juga pada satu masa dulu mengkafirkan Melayu lain. Suatu masa dulu yang nak matikan Umno pada tahun 1987 adalah Melayu, dan usaha mematikan Umno baru-baru ini pun Melayu juga,” katanya menerusi video dimuatnaik di Facebooknya.
Justeru Zaid menegaskan, Umno tidak perlu mencari formula baharu untuk mengukuhkan kedudukannya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Kita balik kepada formula lama… kita (Umno) yang memerdekakan Malaya dengan sokongan orang cina dan India. Kita yang menubuhkan Malaysia dengan sokongan Kadazan dan Dayak.
“Itu formula yang telah terbukti dapat membangun dan memerdekakan negara ini. Jadi jika Umno dan BN telah hilang sokongan orang Cina, India mahupun Kadazan ini, maka kita harus usaha dapat balik sokongan mereka.
“Kita tidak perlu cari formula lain yang telah diketahui akan jadi gunting dalam lipatan. Kita tahu kumpulan Melayu lain ini mahu kuasa daripada kita,” katanya.
Katanya lagi, dalam berdepan PRU tidak lama lagi, Umno dan BN perlu melakukan sesuatu termasuk mengubah dasar dan sikap demi mengembalikan sokongan orang bukan Melayu.
Beliau juga mencadangkan Umno turun ke bawah dan meyakinkan orang bukan Melayu yang mereka ada tempat sewajarnya di negara ini dengan memberi kemudahan dan pengiktirafan sewajarnya.
“Kalau mereka perlukan pengiktirafan UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu) untuk masuk ke universiti awam, maka berikanlah.
“Apakah kita rugi? Bukankan kita juga bertanggung jawab membuat dasar membenarkan sekolah vernakular.
“Jika kita bertanggungjawab kepada dasar itu, kenapa pula ketika peringkat tertinggi kita menidakkan mereka untuk masuk ke universiti awam… itu tidak adil,” katanya.