PRU15 segera, Ku Li bimbang UMNO kalah teruk


(Utusan) – Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah menzahirkan kebimbangan parti itu akan kalah teruk jika berterusan mendesak kerajaan membubar Parlimen dalam masa terdekat bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Tengku Razaleigh atau Ku Li berkata, perkara itu ada asasnya berpandukan kepada persiapan jentera parti yang dilihat seolah-olah belum bersedia untuk menghadapi PRU15.

“Baguslah nak adakan PRU, tetapi kalau kita tak bersedia kita seolah-olah nak cari maut. Jadi kita tak mahu menghadapi pilihan raya kalah dan jika kalah kali ini, teruk kita.

“Kita tak mahu itu berlaku pada parti kita. Ini parti harapan orang Melayu jadi kita tak mahu hilang pengaruh dan kedudukan,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri Majlis Taklimat Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Gua Musang di Balai Rakyat Bukit Cekati, di sini semalam.

Ahli Parlimen Gua Musang itu memberitahu, tindakan mengadakan PRU15 pada musim tengkujuh harus dibuat secara logik akal kerana boleh mengancam negara dan rakyat.

“Keputusan adakan PRU15 seumpama ini saya rasa kita kena bertindak dengan logik dan dengan asas yang kuat, tak boleh kita ikut nafsu semata-mata.

“Kita sendiri nak lari, nak selamatkan diri macam mana nak adakan pilihan raya? Kita pun minta rakyat selamatkan diri jadi masa mana mereka nak berfikir soal undi kalau mereka terpaksa cari tempat tinggi, tempat selamat dan sebagainya?” soalnya.

 



Comments
Loading...