Belanjawan tidak bermakna?


Mohsin Abdullah, Free Malaysia Today

Sama ada PRU15 diadakan tahun ini atau tahun depan, Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan Jumaat ini tetap belanjawan pilihan raya. Walaupun ada penganalisis berpendapat keadaan ekonomi dan kewangan yang dialami tidak akan mengizinkan kerajaan menabur janji, Belanjawan 2023 pasti akan sarat dengan “gula-gula” atau “goodies” yang menjanjikan pelbagai kemanisan untuk rakyat.

Tujuannya menambat hati rakyat. Sebabnya kita tahu. Meraih undi pada PRU15. Lantas digelar belanjawan pilihan raya.

Tetapi, jika Parlimen bubar untuk PRU15 diadakan segera yakni lewat bulan ini atau November, bolehkah Belanjawan 2023 berubah wajah? Tentu sahaja boleh.

Jika pihak yang membentangkannya menang dan menubuhkan semula kerajaan bolehkah ia mengubahsuai belanjawan mengikut kemampuan dan keadaan semasa? Tentu boleh, pada hemat saya.

Bolehkan kerajaan itu kelak memberitahu semua bahawa negara sedang menghadapi keadaan ekonomi yang suram dan muram maka apa yang dijanjikan tidak boleh dilaksana? Maka yang mesti dilakukan ialah mengetatkan perbelanjaan. Boleh ia berkata sedemikian? Memang boleh.

Jika pembangkang pula yang menang dan membentuk kerajaan bolehkah ia berkata tidak akan melaksanakan janji Belanjawan 2023? Boleh juga kerana itu bukan belanjawan mereka.

Apa pun jika Parlimen bubar sebelum Belanjawan 2023 sempat diluluskan oleh Dewan Rakyat juga Dewan Negara, maka ia perlu dibentangkan semula dalam bentuk asal atau sebaliknya oleh kerajaan baharu, walaupun jika yang baharu itu orang yang ada sekarang kerana mereka menang PRU15. Ertinya proses lazim dan wajib dijalankan. Yakni bentang bajet, bahas, undi, diluluskan di Dewan Rakyat dan kemudian di Dewan Negara.

Berdasarkan semua itu apa makna Belanjawan 2023 yang akan dibentang Jumaat ini? Tidak ada makna, tidak ada erti. Itu kata saya kerana (saya ulang) semua akan terlupus apabila Parlimen bubar kerana tidak memberi Belanjawan 2023 kesempatan dan masa untuk didebat, diundi, diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Jika itu tidak diberi, Belanjawan 2023 hanya sekadar deraf. Ia tidak disempurnakan dan tidak diwartakan.

Belanjawan 2023 mulanya dijadual dibentang pada 28 Okt oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, tetapi tarikh pembentangan dipercepatkan kepada 7 Okt (ada ura-ura belanjawan akan dibentangkan oleh perdana menteri sendiri bukan menteri kewangan. Kita tunggu dan lihat).

Dengan mempercepatkan pembentangan Belanjawan 2023, tercetus spekulasi bahawa kerajaan berbuat demikian untuk bubar Parlimen dan PRU15 diadakan sebaik sahaja Bajet 2023 dibentangkan. Kita tahu Umno selama ini mendesak perdana menteri mengadakan pilihan raya segera.

Parlimen bersidang bermula 3 Okt dan dijadual berlangsung hingga 29 Nov. Sidang Dewan Negara dijadual berlangsung daripada 21 Nov ke 7 Dis.

Selepas Bajet 2023 dibentang Jumaat ini, mengikut prosedur ia mesti didebat pada peringkat dasar dan peringkat jawatankuasa. Ia mesti diluluskan selewat-lewatnya akhir tahun ini. Jika tidak, masalah perbelanjaan kerajaan tahun depan boleh timbul. Belanjawan dibuat setiap tahun satu kali dan merangkumi satu tahun fiskal yang bermula pada 15 Jan sehingga 15 Jan tahun berikutnya.

Seperti umum tahu belanjawan adalah rancangan perbelanjaan kerajaan yang melibatkan penerimaan wang, cukai, serta duti lain dan wang tersebut digunakan dalam projek dan program pembangunan negara.

Oleh itu saya setuju akan peringatan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob: “Kalau ada niat nak bubar (Parlimen), jangan bentang Belanjawan, jangan buang masa sahaja. Tapi kalau dah bentang teruskan sahaja sehingga sempurna.”

 



Comments
Loading...