Kerajaan campuran Ismail Sabri tak dihormati, diserang parti lain
Kerajaan campuran ketika ini menyaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak dihormati, malah diserang dan cuba dilemahkan anggota pentadbiran parti lain.
(Berita Harian) – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Barisan Nasional (BN) yakin rakyat akan memberi sokongan kuat kepada gabungan itu untuk kembali membentuk kerajaan dominan kerana pernah membuktikan kemampuan dalam menguruskan ekonomi negara.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) amat penting diadakan sekarang kerana negara sedang kesuntukan masa bagi berdepan kemelesetan ekonomi global yang diramalkan tahun depan.
“Ramalan kemelesetan ekonomi dunia pada 2023 bukan direka-reka oleh BN, sebaliknya berdasarkan pelaporan organisasi kewangan dan ekonomi antarabangsa.
“Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) tiga bulan lalu mengunjurkan prospek ekonomi global ‘menjadi gelap dengan ketara’ sejak April 2022 dan meramalkan dunia berdepan kemelesetan ekonomi tidak lama lagi.
“Agensi itu malah dikatakan akan menurunkan ramalan pertumbuhan ekonomi global tahun ini buat kali ketiga dan pakar ekonomi IMF dilaporkan mahu memuktamadkan angka baharu,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Ahmad Zahid berkata, sebuah institut pelaburan terkemuka berpangkalan di Amerika Syarikat pula meramalkan kemelesetan ekonomi dunia mungkin berlaku lebih awal iaitu pada penghujung tahun ini.
“Ini bermaksud hanya berbaki tempoh kurang tiga bulan sebelum kemelesetan (recession) yang akan menjejaskan kebanyakan negara bermula atau lebih teruk ia mungkin terjadi seawal Disember tahun ini,” katanya.
Malaysia amat memerlukan sebuah kerajaan stabil dan kukuh yang mampu bergerak sehaluan dalam mengatur langkah serta strategi berkesan untuk melindungi Malaysia daripada impak buruknya.
“Sejarah Malaysia sesudah PRU14 berakhir pada 9 Mei 2018 membuktikan tiada gabungan politik selain BN memiliki kemampuan itu,” katanya.
Malaysia telah melalui pengalaman yang amat memeritkan sepanjang berkerajaan gagal selama 22 bulan di bawah Pakatan Harapan (PH) dan 17 bulan di bawah Perikatan Nasional (PN).
“Negara di bawah pentadbiran PH memiliki sebuah kerajaan cacamarba, tidak tersusun dan lebih mengutamakan agenda politik berbanding kepentingan rakyat dan negara.
“Pentadbiran negara jadi bersimpang-siur dengan setiap parti politik dalam kerajaan mentadbir portfolio Kabinet masing-masing mengikut agenda dan fahaman sendiri.
“Negara di bawah pentadbiran kerajaan PN disertai sebilangan wakil rakyat BN, namun diketuai pemimpin politik bermuslihat menamatkan lawan politik bagi mengukuhkan kedudukan,” katanya sambil menambah semoga harapan rakyat supaya mandat dikembalikan kepada mereka untuk memulihkan negara jadi kenyataan.