Titah Sultan Terengganu ikut contoh Nabi: tetapi majoriti Melayu sokong sistem sekular
(Utusan) – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru rakyat negeri ini menjadikan Nabi Muhammad SAW dan sahabat baginda sebagai contoh terbaik dalam menghadapi sesuatu ujian, baik dalam keadaan senang atau susah.
Baginda bertitah, umat Islam perlu berlapang dada menghadapi sebarang kesulitan dan kesempitan hidup terutama akhir-akhir ini.
“Anggaplah apa yang menimpa dan berlaku sebagai ujian daripada Allah SWT dan menjadi kewajipan kepada kita supaya terus berusaha dan meningkatkan azam di samping bersyukur atas nikmat rezeki dikurniakan.
“Beta percaya dan yakin, rakyat jelata dalam kalangan umat Islam di negeri ini akan menjadikan sambutan Maulidur Rasul sebagai penyuntik semangat untuk terus berusaha dengan lebih kuat bagi mencapai kejayaan hidup berpandukan kepada risalah ajaran dibawa oleh Rasulullah SAW.
“Kita juga sepatutnya mengambil iktibar dari kecekalan dan keteguhan hati Rasulullah SAW dalam mengharungi dugaan dan ujian yang dihadapi,” titah baginda ketika merasmikan Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Terengganu 2022 di Stadium Tertutup Gong Badak di sini, semalam.
Terdahulu, keberangkatan tiba baginda dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.
Seterusnya baginda mencadangkan pada sepanjang bulan Rabiulawal ini, institusi masjid dan surau dapat mengadakan program dan aktiviti yang menjurus kepada menzahirkan rasa cinta dan kasih kepada Baginda SAW.
“Perbanyak alunan bacaan selawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW di samping mewujudkan kelas pengajian berzanji dan marhaban di masjid dan surau dalam negeri Terengganu Sesungguhnya mencintai dan mengasihi serta menghayati sirah Rasulullah SAW adalah satu kewajipan ke arah mendidik jiwa dan pembinaan sahsiah diri kita sebagai umat Islam,” titah baginda.
Selain itu, baginda berharap seluruh rakyat Terengganu menjadi satu masyarakat yang harmoni dan membentuk sebuah negara yang makmur dari pelbagai sudut, baik ekonomi dan pendidikan.
“Keharmonian masyarakat umumnya bermula daripada institusi keluarga yang mampu mewujudkan ketenangan dan kemantapan hidup bersama. Ia berasaskan kepada hubungan baik dan rasa kasih sayang antara satu sama lain. Adalah penting teori kebahagiaan keluarga difahami secara menyeluruh agar keluarga yang dibina mencapai keredhaan dan keberkatan di dunia dan di akhirat,” titah baginda.