1MDB: Zeti akan di panggil beri keterangan


(Malaysia Gazette) – Bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz menjadi punca pertikaman lidah antara pasukan pendakwaan dan pembelaan perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Ketua pasukan pembelaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hari ini mendakwa beliau mempunyai bukti bahawa rumah Zeti Aziz sering dikunjungi oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Beliau berkata demikian ketika sedang menyoal balas saksi ke-39, bekas Pengarah Urusan Kumpulan Ambank, Cheah Tek Kuang di hadapan hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence hari ini.

Muhammad Shafee menyoal saksi sama ada beliau pernah melihat kelibat Jho Low di rumah Zeti.

Bagaimanapun kata Teck Kuang, beliau hanya pernah berkunjung sekali sahaja ke rumah Zeti ketika mendapat pelawaan majlis sambutan Hari Raya.

Kata Teck Kuang, beliau tidak pernah nampak Jho Low di situ.

Pertikaman lidah berlaku antara Muhammad Shafee dan Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berlaku semasa perbicaraan rasuah itu.

Sri Ram kemudian memberitahu mahkamah pihaknya akan memanggil Zeti bagi menjawab dakwaan pembelaan bahawa Jho Low pernah beberapa kali mengunjungi bekas gabenor bank itu.

Sebelum ini, Teck Kuang pernah mendedahkan beliau pernah ternampak kelibat Jho Low di rumah Ahli Parlimen Pekan itu di Kenny Hills Bukit Tunku.

Jho Low dipercayai berada di rumah bekas Presiden UMNO itu pada hari dokumen berkaitan pembukaan akaun peribadi Ambank oleh Najib.

Dalam pada itu Tek Kuang juga memberitahu mahkamah minggu lepas, beliau pernah beberapa kali bertemu Jho Low di majlis tertentu namun tidak pernah kenal rapat dengannya.

“Jho Low suka datang lewat, itu memang tabiatnya. Pernah sekali Jho Low datang lewat masa Joanna buat temu janji dengannya,” katanya.

Ketika Muhammad Shafee bertanya sama ada pernah menerima telefon pintar Blackberry, Tek Kuang menafikan hadiah itu pernah diterima olehnya.

Prosiding bersambung esok di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan sedang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Ketika ini, Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah menyeweleng dana SRC International berjumlah RM42 juta dan hadir prosiding dari Penjara Kajang.

 



Comments
Loading...