Sultan Selangor perkenan DUN tidak dibubarkan


Menteri Besar Amirudin Shari berkata tumpuan akan terus diberikan kepada kebajikan rakyat Selangor.

(Malaysia Now) – Menteri Besar Selangor Amirudin Shari hari ini mengulangi pendirian tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri serentak dengan persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dalam satu kenyataan, Amirudin berkata beliau sudah mengadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini.

“Saya menyembah maklum komitmen dan persiapan kerajaan negeri dalam mendepani kemungkinan situasi banjir di Selangor, usaha pemulihan ekonomi, bantuan kebajikan, serta persiapan Belanjawan Selangor 2023 yang akan dibentangkan dalam sesi DUN Selangor pada tahun ini,” katanya.

“Tuanku berkenan agar pentadbiran ini diteruskan supaya dapat memfokuskan usaha menjamin kesejahteraan rakyat Selangor.”

Selangor adalah satu daripada enam kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang menentang gesaan pilihan raya diadakan lebih awal.

Selain Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu turut berkata ia tidak akan membubarkan DUN masing-masing sehingga tahun depan, memecah tradisi pilihan raya serentak di peringkat persekutuan dan negeri.

Pda 10 Oktober, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen, mengatakan ia akan mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil, kuat dan dihormati.

Namun, PH dan PN dianggotai Bersatu dan PAS memetik alasan banjir musim tengkujuh serta keperluan untuk memastikan pemulihan ekonomi selepas Covid-19 dalam membantah pembubaran Parlimen itu.

https://www.malaysianow.com/my/news/2022/10/11/sultan-selangor-perkenan-dun-tidak-dibubarkan

 



Comments
Loading...