Jangan lari, lawan Azmin, PN cabar Anwar
Perikatan Nasional berkata sikap Anwar Ibrahim yang tidak jelas ketika mencabar ‘pengkhianat PKR’ adalah kerana beliau takut tak dapat sokongan pengundi Melayu.
(MalaysiaNow) – Perikatan Nasional (PN) menggesa Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menepati kenyataannya yang mahu bertanding di kerusi yang disandang “pengkhianat PKR” pada pilihan raya akan datang, menyifatkan sikap pemimpin pembangkang itu yang bertukar nada kerana takut ditolak pengundi Melayu.
Mansor Othman, setiausaha eksekutif jabatan pilihan raya PN, berkata Anwar mengelak selepas Mohamed Azmin Ali mengalu-alukan presiden PKR itu untuk bertanding kerusi Parlimen Gombak yang disandangnya.
“Alasan yang sebenarnya Anwar takut untuk menghadapi Azmin di Gombak adalah terang.
“Gombak terdiri daripada lebih 75% undi Melayu,” katanya sambil menambah Anwar dan Pakatan Harapan (PH) ditolak oleh golongan ini.
“Bagi menutupi kegagalan Anwar untuk menerima cabaran berani Azmin, pada 15 Oktober 2022, Anwar mendakwa kononnya menerima beberapa tawaran untuk bertanding di kerusi Parlimen di Negeri Sembilan, Johor dan Pulau Pinang dan ‘pening’ untuk memilih kerusi yang mana untuk bertanding.
“Pendek kata, Azmin Ali menyahut gertakan Anwar dan Anwar cabut lari.”