‘Kezaliman’ Dr M sukar ‘dijernihkan’, PAS enggan terima Pejuang
Kezaliman Dr Mahathir Mohamad terhadap PAS ketika menjadi perdana menteri keempat sukar “dijernihkan”, menyebabkan parti itu susah untuk terbuka bekerjasama dengan Pejuang seperti mana diusahakan oleh Bersatu.
(FMT) – Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Zuhdi Marsuki, berkata ketika Mahathir berada di puncak kuasa, beliau sentiasa memusuhi PAS dan meminggirkan negeri yang ditadbir parti itu dengan menyekat pembayaran royalti petroleum dan peruntukan pembangunan di Kelantan dan Terengganu.
“Sangat sukar dijernihkan sejarah kezaliman beliau, apatah lagi untuk ahli-ahli PAS diajak bekerjasama dengan Pejuang seperti yang cuba diusahakan oleh Bersatu pada masa kini.“Sejarah hubungan Mahathir dan PAS semasa beliau menjadi perdana menteri dan presiden Umno begitu berkeladak, keruh sekeruh-keruhnya,” katanya di Facebook.
Pada 13 Okt, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, berkata parti itu bersedia mempertimbangkan kerjasama dengan Pejuang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) sekiranya parti dipimpin Mahathir itu serius mengenainya.
Dalam pada itu, Zuhdi mendakwa kemuncak permusuhan Mahathir terhadap PAS apabila berlakunya tragedi Memali pada Nov 1985.
“Peristiwa Pembunuhan Ustaz Ibrahim Libya dan murid-muridnya berlaku di kala Mahathir menjadi perdana menteri, yang sehingga hari ini masih misteri tentang siapakah sebenarnya pencatur di sebalik pertempuran pasukan polis dan orang-orang kampung?
“Sehingga hari ini Mahathir tidak pernah menyesal dengan kejadian ini,” dakwanya.
“Pendek kata, di zaman Mahathir menjadi perdana menteri dan presiden Umno, tekanan terhadap PAS dan kerajaan negeri yang diterajui oleh PAS begitu memuncak.”