PRU15: ‘Bila tiba masanya, durian pun jadi tempoyak’, balas Abdul Hadi kepada Zahid


(Astro Awani) – Perang mulut antara dua presiden parti Melayu Islam terbesar negara ini, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dari Pas dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dari UMNO semakin hangat, selari dengan kerancakan musim Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Terdahulu, Abdul Hadi mendakwa beliau terdengar kenyataan Ahmad Zahid yang menyamakan UMNO sebagai durian dengan duri yang tajam, manakala Pas hanyalah sekadar timun.

Namun, penyandang kerusi Parlimen Marang itu berkata, durian lama-kelamaan akan menjadi tempoyak bila tiba masanya.

“Saya dengar kenyataan dia (Ahmad Zahid). Jaga-jaga dia kata … dia kata “Kami (UMNO) ini durian, Pas pula timun.”

“Ha tak apa, biarlah kamu durian kami timun tak apa. Kita sabar. Kita lok (biarkan). Biar durian itu masak, luruh dan jatuh. Lok (biarkan) jadi tempoyak. Lepas jadi tempoyak, selam (cicah) dalam budu. Ambil timun tenyeh di atas (tempoyak dalam budu). Akan tiba masanya,” katanya dalam satu perkongsian video di laman media rasmi beliau hari ini.

Abdul Hadi berkata demikian sewaktu berucap pada program Himpunan Penyatuan Ummah di Stadium Sultan Muhammad IV, pada Jumaat, sambil menjelaskan tentang kegagalan kerjasama UMNO dan Pas melalui Muafakat Nasional sempena PRU15 kali ini.

Ahmad Zahid pada 16 Oktober lepas menzahirkan kekecewaan selepas Abdul Hadi menyamakan kerjasama dua parti Melayu Islam terbesar itu dengan ‘durian mentah’.

Kata penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk itu, tindakan label-melabel pihak lain dengan sesuatu yang buruk disifatkan sebagai tidak wajar.

Walaupun kerjasama UMNO dengan Pas dilabel sebagai ‘durian mentah’, namun, Ahmad Zahidi mengingatkan Abdul Hadi bahawa raja buah itu juga mempunyai duri yang tajam.

Sementara itu, Utusan Malaysia melaporkan Abdul Hadi sebagai berkata dalam program tersebut, kerjasama kedua-dua parti itu disifatkan durian mentah ekoran sikap kurang sabar pihak tertentu.

“Ada orang kita tu nak menang deghah (cepat). Kita ingat Muafakat Nasional (MN) boleh menang cepat kerana UMNO ni banyak cawangan dia dan duit dia banyak. Ingatkan kita boleh tumpang sama untuk menang.

“Saya kata jangan cepat sangat. Macam buah durianlah. Putik lagi dan jangan dikait takut jatuh atas kepala. Saya kata tunggu masak tetapi dia marah. Saya dengar kenyataan dia. “Jaga dia tu. Kami ni durian, Pas mentimun,” katanya seperti dipetik laporan tersebut.

 



Comments
Loading...