PRU15 mungkin menjadi seperti PRU14 – di mana UMNO/BN mendahului sebelum PRU tetapi tidak selepas PRU
Lim Kit Siang
Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022 mungkin menjadi seperti Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 – di mana UMNO/Barisan Nasional mendahului sebelum pilihan raya namun tidak selepas keputusan diumumkan.
Semasa PRU14, saya berkempen untuk menumbangkan kerajaan UMNO/BN di seluruh negara, namun jika anda bertanya kepada saya pada pagi Hari Mengundi pada 9 Mei 2018, saya tidak akan katakan yang Pakatan Harapan akan menamatkan hegemoni politik UMNO/BN pada hari itu.
Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak sendiri pun amat yakin yang bukan sahaja mereka akan menang, malah bakal meraih majoriti dua pertiga di Parlimen sehinggalah penghujung hari mengundi pada 9 Mei 2018.
Namun, para pengundi, baik di dalam negara atau dari komuniti Diaspora Malaysia di seluruh dunia, melakukan usaha besar-besaran dan mengejutkan bukan sahaja Malaysia, tetapi seluruh dunia, dengan pertukaran kerajaan pada 9 Mei 2018.
Kita kini berada dalam situasi yang serupa untuk PRU15.
Gabungan UMNO/BN percaya yang mereka mendahului namun keputusan tidak berada dalam tangan mereka, sebaliknya akan ditentukan oleh para pengundi Malaysia yang berada di dalam dan di luar negara – sama ada kita memilih untuk permulaan baharu dengan menetapkan semula dan kembali kepada prinsip pembinaan negara untuk sebuah masyarakat majmuk, atau kita memilih untuk menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan negara gagal yang berpecah belah menjelang ulang tahun ke-100 negara dalam empat dekad dari sekarang.
Saya kini berusia 81 tahun dan telah memberikan 57 tahun dari kehidupan saya untuk mengejar Impian Malaysia – Malaysia di mana terdapat kebebasan, keadilan, dan kehidupan yang baik untuk semua rakyat Malaysia, baik Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Iban.
Sama ada kita orang Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Iban, sama ada kita Islam, Buddha, Hindu, Taoist, atau Kristian, kita telah berkorban nyawa dan menitiskan air mata dan keringat demi matlamat yang sama – untuk memastikan anak-anak dan cucu-cucu kita menerima kehidupan yang lebih baik berbanding dengan kita.
Saya tidak akan berada di sini ketika ulang tahun ke-100 Malaysia, tetapi saya akan tetap berjuang untuk mengejar Impian Malaysia sehingga ke saat akhir saya.
Walaupun saya tidak lagi berada dalam politik barisan hadapan, saya akan terus memberikan jiwa dan raga saya untuk mengejar Impian Malaysia, bermula dengan cita-cita untuk menjadikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 untuk memulakan proses pemulihan dan pembaharuan negara supaya kita dapat menjadi sebuah negara majmuk hebat yang bertaraf dunia dan bukannya sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, atau negara gagal menjelang ulang tahun ke-100 negara.
Inilah intipati PRU15 pada 19 November 2022 ini – untuk masa hadapan Malaysia, bukannya untuk menyelamatkan para pemimpin UMNO dan BN dari didakwa di mahkamah dan dihantar ke penjara!
Seperti ramai rakyat Malaysia yang lain, saya juga kecewa apabila kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan tidak dapat melakukan lebih banyak perkara – namun, mustahil untuk kita capai perkara yang dirancang untuk lima tahun dalam masa hanya 22 bulan.
Kita tidak pernah jangkakan pengkhianatan konspirasi Langkah Sheraton.
Namun, adakah kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan ini satu kegagalan penuh? Jika ya, Najib tidak akan berada dalam penjara sekarang ini dan para pemimpin UMNO dan BN tidak akan takut untuk didakwa dan dipenjara kerana rasuah.
Kita perlu perbaharui harapan kita untuk Malaysia yang lebih baik dan marilah kita lakukannya pada 19 November 2022?