BN mahu jadikan PRU15 medan tamatkan riwayat politik Anwar


Barisan Nasional (BN) mahu menjadikan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai kesempatan terbaik untuk menamatkan riwayat politik Datuk Seri Anwar Ibrahim.

(Utusan Malaysia) – Pengarah Komunikasi BN, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, Anwar tiada jasa di Parlimen Tambun dan bukan aset penting yang mesti diberikan kemenangan di kawasan itu dalam PRU15.

“Malah, ini kesempatan terbaik kepada orang Perak untuk menamatkan hayat politik Anwar Ibrahim, biar Tambun menjadi bukti sejarah Anwar Ibrahim hilang pengaruh di sini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau bagaimanapun menjelaskan mengalahkan Presiden PKR itu bukan bermakna perlu memberikan kemenangan kepada calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding di situ kerana ia juga mesti dikalahkan.

Sebaliknya, beliau yakin pertembungan tiga penjuru akan memberikan kelebihan kepada calon BN dan kehadiran Anwar sebagai calon akan meningkatkan motivasi serta semangat jentera BN Tambun dan BN Perak untuk bekerja dengan lebih kuat lagi.

Beliau berharap pengundi di Tambun sedar bahawa kepimpinan Pakatan Harapan (PH) termasuk Anwar sering bertukar kawasan bertanding setiap kali PRU kerana ketika menjadi wakil rakyat di kawasan sebelumnya mereka tidak bekerja untuk rakyat.

“Sebab itu mereka berpindah kawasan. Anwar Ibrahim dari Port Dickson ke Tambun. Jadi pemilih di Parlimen Tambun jangan tersilap langkah. Terbaik pilihan ialah Barisan Nasional.

“Kita mesti menjadikan PRU15 medan menamatkan hayat politik Anwar Ibrahim dan Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana dua watak ini telah merugikan negara sejak sekian lama,” katanya.



Comments
Loading...