Bekas Peguam Negara Apandi penipu, kata Dr Mahathir


“Tidak cukup dengan pampasan, Apandi yang didapati oleh Mahkamah Tinggi sebagai seorang penipu dan perlu disiasat kerana disyaki bersubahat di dalam skandal 1MDB dilantik mengetuai jawatankuasa siasatan tuntutan Pulau Batu Puteh.”

(Malaysia Now) – Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan mengapa tiada tindakan yang diambil kerajaan terhadap Mohamed Apandi Ali berhubung dakwaan bersubahat dalam menutup skandal 1MDB, sebaliknya bekas peguam negara itu diberikan pampasan bernilai jutaan ringgit.

Dalam sebuah kenyataan, Mahathir berkata beliau pelik kerana Apandi melakukan pelbagai kesalahan semasa memegang jawatan itu.

“Amat pelik kenapa sehingga kini tidak ada sebarang siasatan atau tindakan diambil terhadap Apandi Ali yang jelas melakukan pelbagai kesalahan semasa dia menjadi peguam negara sebelum Tommy Thomas.

“Kesalahannya melepas Najib dari sebarang tindakan undang-undang juga jelas menunjuk Apandi terbabit di dalam menutup skandal 1MDB,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Apandi yang secara mudah melepaskan Najib Razak sedangkan sembilan hakim sudah membuktikan bahawa bekas perdana menteri itu bersalah.

Bahkan, katanya hakim Mahkamah Tinggi Azimah Omar, dalam penghakimannya pada 23 Mei 2022 bagi menolak saman fitnah Apandi terhadap veteran DAP Lim Kit Siang, membuat kesimpulan bahawa Apandi, antara lain adalah seorang penipu dan gagal melaksanakan tugas sebagai peguam negara.

“Berikutan kenyataan Azimah, banyak laporan polis dibuat terhadap Apandi tetapi tiada sebarang tindakan diambil.

“Sebaliknya Apandi diberi pampasan jutaan ringgit oleh kerajaan kerana kerajaan terdahulu menamatkan perkhidmatannya kerana dia gagal menjalankan tugasnya.

“Tidak cukup dengan pampasan, Apandi yang didapati oleh Mahkamah Tinggi sebagai seorang penipu dan perlu disiasat kerana disyaki bersubahat di dalam skandal 1MDB dilantik mengetuai jawatankuasa siasatan tuntutan Pulau Batu Puteh.”

Pada 2015, Apandi dilantik sebagai peguam negara dan berkhidmat selama tiga tahun. Apandi kemudiannya digantikan oleh Thomas pada 2018 di bawah pentadbiran Mahathir selepas Pakatan Harapan (PH) menerajui Putrajaya.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...