Beranikah Anwar umum akan lantik TPM daripada etnik Cina atau India?
(Agenda Daily) – Seorang pemimpin Gerakan Tanah Air (GTA) hari ini mencadangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik Timbalan Perdana Menteri (TPM) daripada etnik Cina atau India sekiranya Pakatan Harapan (PH) menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November depan.
Timbalan Ketua Penerangan GTA Mahdzir Ibrahim berkata dengan PKR merupakan sebuah parti politik berbilang kaum, pelantikan etnik Cina atau India sebagai TPM harus menjadi manifestasi dasar parti.
“Anwar yang juga Pengerusi PH dan Presiden PKR juga disanjung tinggi oleh pemimpin semua kaum. Saya percaya jika Anwar bersedia mengumumkan pelantikan pemimpin Cina atau India sebagai TPM bermakna dia sudah bersedia menjadi Perdana Menteri (PM) kesepuluh.
“Jika tidak, ucapan beliau yang lepas (lantik dua TPM) hanyalah retorik untuk menarik simpati rakyat terhadapnya,” kata Mahdzir dalam satu kenyataan hari ini, menurut MalayMail.
Kenyataannya itu sebagai respons kepada ikrar Anwar pada Isnin untuk melantik dua TPM sekiranya gabungan itu memenangi pilihan raya umum akan datang.
Sebelum ini, PH menamakan Anwar sebagai calon PM untuk PRU-15.
Terdahulu, ahli jawatankuasa manifesto PH Chan Foong Hin berkata pakatan itu komited kepada kerusi TPM dari Sabah atau Sarawak yang mempunyai bidang kuasa untuk melaksanakan reformasi di bawah kementerian hal ehwal Sabah dan Sarawak.
Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai calon TPM, bekas Presiden UPKO Datuk Wilfred Madius Tangau enggan mengulas, sebaliknya hanya berkata PH akan bercakap mengenainya apabila tiba masanya.