Tahniah, semua rakyat Terengganu umur 21 tahun telah mendapat tanah untuk tapak kediaman?


Semua rakyat Terengganu, khasnya golongan muda patut bersyukur kerana kesemua mereka telah mendapat satu lot tapak rumah atau satu unit rumah kediaman selepas kerajaan negeri itu diperintah oleh Pas pada PRU – 14 lalu.

(Malaysia Dateline) – Mereka juga patut bersyukur kerana kerajaan negeri telah berjaya memberikan pekerjaan kepada mereka selepas berjaya menyediakan 20,000 peluang pekerjaan di negeri itu.

Ini berikutan ucapan tahniah yang dibuat oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada Menteri Besar Terengganu kerana berjaya melaksanakan kesemua manifestonya.

“Tahniah saya ucapkan kepada Pas Negeri Terengganu dan Kerajaan Negeri Terengganu pimpinan Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar atas kejayaan menunaikan semua manifesto yang telah dijanjikan pada PRU-14,” kata Hadi menerusi Facebook beliau.

Pas telah menyenarai 15 tawaran manifesto menjelang PRU-14 lalu.

Perkara nombor pertama yang dijanjikan adalah memastikan setiap rakyat Terengganu berumur 21 tahun memiliki 1 lot tapak rumah atau 1 unit rumah kediaman.

Melalui manifestio itu juga, Pas juga berjanji menyediakan 20 ribu peluang pekerjaan dalam tempoh 4 tahun.

Kini Presiden Pas telah mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri kerana berjaya melaksanakan 100 peratus menifesto itu.

Di ruang komen ucapan itu, penuh dengan ucapan tahniah dari penyokong-penyokong Pas.

Namun komen negatif yang cuba diberikan telah diedit oleh admin dengan membuangnya termasuk komen berbunyi “Tanah manna?”.

Namun, ketika berita ini ditulis, masih ada beberapa komen negatif yang masih tinggal.

Nur Iskandariana misalnya membuat komen, “Bandar baru setiap daerah tu terang2 dok wak lagi.. Manipistol pru14 dulu kala fakta dr wakil bandar baru Mak Lagam. Kemaman. Ni projek hok pertama..

“Doksoh kata siap.. sebatang paku pun xbeli lagi. Kita sendiri tahu projek tu x viable,” kata beliau.

Melalui manifesto itu, Pas berjanji akan membina bandar baharu lestari di setiap daerah.

Ada juga yang mengingatkan pemimpin Pas itu agar berkata benar dan jangan berbohong.

Misnan Dimin menulis, “Klu bernar apa yg kata ni shukor Alhadulillah tapi klu berita ni palsu tangong lah apa akibat nya.”

 



Comments
Loading...