Ahli politik berdepan kes rasuah tak patut jadi calon PRU15, kata C4


(FMT) – Ahli politik yang berdepan dakwaan rasuah di mahkamah tidak sepatutnya bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4).

Pengerusi kumpulan anti-rasuah itu Edmund Terence Gomez, berkata ahli politik terbabit mesti membersihkan nama mereka daripada dakwaan berkenaan sebelum bertanding.

“Saya merujuk kepada kes mahkamah dihadapi Ahmad Zahid Hamidi daripada Umno, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada Muda, malah Lim Guan Eng daripada DAP,” katanya pada pelancaran laporan “Business in Politics”.

Beliau berkata, ahli politik yang namanya didedahkan dalam kebocoran Kertas Pandora juga tidak sepatutnya dicalonkan pada PRU15.

“Saya menggesa presiden parti untuk melihat dengan teliti calon mereka. Jika mereka mempunyai dakwaan serius terhadap mereka, seperti dinamakan dalam Kertas Pandora, mengapa mereka masih dicalonkan?”

Kebocoran data itu adalah yang terbesar seumpamanya, dan melibatkan hampir 12 juta dokumen dan rekod lain daripada penyedia perkhidmatan luar pesisir yang membantu menubuhkan dan mengurus syarikat cengkerang di seluruh dunia.

Antara yang dikaitkan termasuk Zahid, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, William Leong daripada PKR dan juga ibu bapa kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho.

Gomez, yang mengarang laporan itu, mempersoalkan proses pemilihan calon digunakan oleh parti politik, sambil berkata sebahagian daripada 13 Ahli Parlimen yang diteliti oleh C4 bukan hanya calon PRU15 tetapi mempunyai hubungan besar antara perniagaan dan politik.

“Sekiranya parti ingin membawa lebih ramai orang mempunyai hubungan perniagaan ke dalam sistem politik, adakah ini tidak akan membawa kepada politik wang selanjutnya? Adakah ini tidak akan membawa kepada rasuah lagi di negara ini?” soalnya.

Justeru, katanya, pemimpin parti harus lebih bertanggungjawab dalam pemilihan calon mereka.

“Akhirnya, pemimpin partilah yang menandatangani ‘watikah’ (surat pelantikan) yang membenarkan calon mereka bertanding dalam pilihan raya. Jadi, bertanggungjawablah. Calonkan calon yang baik,” katanya.

 



Comments
Loading...