Sebab apa PAS sukar kerjasama dengan Umno


“Disebabkan itu kita pilih PN, bukan MN kerana dalam UMNO masih ada yang keruh, yang rasuah, yang masih dibicarakan. Kita tahu ada yang bersih dalam UMNO dan mahu buat perubahan, tetapi mereka pula dicantas tak jadi calon, yang dipilih penyangak sebagai calon.”

(Sinar Harian) – Pas mendedahkan antara sebab menolak kerjasama bersama UMNO bawah gagasan Muafakat Nasional (MN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), disebabkan UMNO didakwa masih ‘keruh’ selain mempunyai masalah dalaman.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, selain diberikan kata dua supaya Pas meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekiranya mahu menjalin kerjasama bersama UMNO, parti itu cuba mencatur kedudukan kerusi milik Pas tanpa rundingan.

Menurutnya, disebabkan pelbagai masalah yang agak rumit itu menyebabkan Pas memilih Perikatan Nasional (PN) untuk kerjasama politik berbanding MN.

Selepas Parlimen dibubarkan, mereka ajak jumpa. Saya dan Timbalan Presiden (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) pergi jumpa, mereka letak syarat Pas boleh bersama UMNO sekiranya kita putuskan hubungan dengan parti lain khususnya Bersatu.

“Mereka minta Pas buat keputusan dalam tempoh singkat. Kemudian cakap pula beberapa kerusi Pas di Kelantan, Terengganu dan Pahang diberi kepada UMNO. Tukar situ, tukar sana, dia yang atur kerusi kita pula,” katanya pada Ceramah Perdana PRU15 di markas Pas Pokok Sena pada Selasa.

Abdul Hadi berkata, pihaknya sudah berusaha mengajak semua pihak termasuk UMNO ke arah perpaduan ummah demi perpaduan negara namun tidak dapat direalisasikan disebabkan sikap UMNO sendiri.

“Disebabkan itu kita pilih PN, bukan MN kerana dalam UMNO masih ada yang keruh, yang rasuah, yang masih dibicarakan. Kita tahu ada yang bersih dalam UMNO dan mahu buat perubahan, tetapi mereka pula dicantas tak jadi calon, yang dipilih penyangak sebagai calon,” katanya.

Susulan itu, tegas Abdul Hadi, Pas tidak dapat meneruskan kerjasama dengan berkawan bersama sebuah parti yang dipenuhi pelbagai masalah menyebabkan PN menjadi pilihan gabungan politik pada PRU15.

“Kita juga tolak Pakatan Harapan (PH) kerana gabungan itu ada komunis, ada yang tak percaya ketuhanan, ada liberal, pemberi rasuah dan menerima rasuah.

“Saya harap bukan Melayu dapat sokong PN, kita ada Bersatu yang keluar daripada UMNO untuk bersama dengan kita. Kita memerintah hampir dua tahun dan krisis ekonomi dapat diselesaikan, malangnya UMNO tarik diri dan terpaksalah bubar kerajaan,” ujarnya.

Menurutnya, PN merupakan sebuah gabungan yang bersih serta stabil dan telah dibuktikan sepanjang memerintah negara ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.

“Simbol PN adalah untuk bina kekuatan baharu untuk kita lakukan perubahan dalam negara. Beri peluang kepada kami untuk tadbir semula, tengok apa kami buat dan kalau kami buat tak betul, tolak semula kami pada PRU akan datang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, gabungan awal Pas-Bersatu-UMNO pada awalnya berjaya dilaksanakan apabila dapat mengumpulkan Ahli Parlimen mencukupi bagi mengambil alih negara, namun gagal dipertahankan.

“Tiba-tiba perangai lama UMNO jadi lagi, berkelahi sesama sendiri nak jadi Perdana Menteri, nak kementerian itu, nak jawatan ini. Setelah kalah PRU14 mereka tak insaf. Bukan semua, ada yang insaf dan nak perubahan.

“Kita ajak UMNO kepada perpaduan ummah bersama Bersatu, Gerakan dan parti lain, tiba-tiba mereka minta hanya UMNO dan Pas sahaja (Muafakat Nasional). Itu bukan perpaduan, itu tujuan politik untuk jatuhkan kerajaan,” katanya lagi.

Menurutnya, tindakan UMNO itu sebenarnya bukan mahu membantu menyelesaikan masalah rakyat, sebaliknya hanya untuk menyelesaikan masalah dihadapi pemimpin tertentu yang dikaitkan dengan kes mahkamah.

 



Comments
Loading...