Agong akan tentukan PM jika BN menang PRU15, kata Zahid


Mengikut kelaziman dan tradisi, presiden Umno akan menjadi perdana menteri sekiranya BN yang diterajuinya menang pada pilihan raya. Bagaimanapun perdana menteri sekarang adalah Ismail Sabri Yaakob.

(Mkini) – Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menentukan seorang perdana menteri sekiranya BN menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15), Sabtu ini.

“Kita yakin bahawa kuasa mutlak Agong terdapat di dalam perlembagaan persekutuan 43 (1) (B) ialah adalah kuasa mutlak melantik perdana menteri.

“Saya yakin Tuanku akan menggunakan kebijaksanaan untuk menentukan siapakah akan perdana menteri apabila BN memperolehi jumlah majoriti yang mencukupi untuk kita menubuhkan kerajaan,” katanya kepada pemberita di Hutan Melintang, Bagan Datuk malam tadi.

Mengikut kelaziman dan tradisi, presiden Umno akan menjadi perdana menteri sekiranya BN yang diterajuinya menang pada pilihan raya. Bagaimanapun perdana menteri sekarang adalah Ismail Sabri Yaakob.

Malah, Ismail Sabri berkata, pemilihannya sebagai calon jawatan utama pentadbiran kerajaan itu telah diputuskan secara jelas pada Persidangan Agung Umno 2021 serta keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno pada April lepas.

Pada sidang media itu, Zahid juga ditanya mengenai serangan pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang terus mendakwa bahawa dirinya akan mengadakan bekerjasama dengan Pengerusi PH Anwar Ibrahim untuk menubuhkan kerajaan pusat.

Bagi Zahid, dakwaan itu dibuat adalah kerana kegagalan PN mewujudkan ‘khemah besar’ di kalangan pembangkang dan terpaksa melepaskan “’tembakan yang tidak bersasar”.

“Dakwaan itu datang daripada PN. Sebab mereka berhajat untuk membuat khemah besar tetapi akhirnya khemah besar itu tidak menjadi realiti.

“Sebab itu mereka menembak secara tidak bersasar tembak, menembak secara rambang,” katanya.

Presiden Umno itu terdahulu menghadiri majlis terbuka Deepavali anjuran Pertubuhan Sanmarka Orang India kawasan Hutan Melintang, di Bagan Datuk.

Bagaimanapun, Zahid berkata bahawa serangan itu tidak akan berjaya kerana dia yakin BN mampu menubuhkan kerajaan pusat tanpa mengadakan sebarang pakatan dengan mana-mana parti pembangkang.

“Saya yakin akhirnya yang akan membentuk kerajaan ialah BN dan tentunya ‘post electoral’ (selepas pemilihan) kita akan menentukan bahawa dua pertiga majoriti mesti diperolehi.

“Ini kerana kerajaan akan terbentuk nanti adalah kerajaan yang stabil dan kita tidak mahu kerajaan yang goyang dan ini akan menyusahkan rakyat,” katanya.

Khemah besar merujuk kepada idea yang dilontarkan PH dalam pemukiman pemimpin gabungan itu pada April lalu untuk menyatukan dan mengadakan kerjasama dengan parti-parti lain.

Namun ia tidak menjadi kenyataan susulan perbezaan ketara, khususnya bagi parti sekutu yang menjadi seteru.

Kerusi Parlimen Bagan Datuk kali ini menyaksikan pertandingan empat penjuru.

Selain Zahid, calon-calon lain adalah Shamsul Iskandar Md Akin dari Pakatan Harapan (PH) Nik Muhammad Faiz Na’aman dari Perikatan Nasional (PN) dan Tawfik Ismail dari Gerak Independent (GI) – yang merupakan anak sulung timbalan perdana menteri kedua negara Allahyarham Dr Ismail Abdul Rahman.

Bagan Datuk adalah kubu kuat Zahid yang dipegangnya sejak 1995.

Dia mengekalkan kerusi itu pada 2018 dengan majoriti 5,073 undi dan meraih 51.4 peratus undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov (hari ini).

 



Comments
Loading...