PN sedia bentuk kerajaan dengan BN, kata Takiyuddin
PAS tidak menolak kemungkinan Perikatan Nasional (PN) akan membentuk kerajaan dengan BN sekiranya mereka gagal membentuk kerajaan secara bersendirian dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.
(Mkini) – Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, berkata PN tidak akan sesekali membentuk gabungan bersama Pakatan Harapan (PH) untuk menguasai Putrajaya.
“Saya yakin kita dapat bentuk kerajaan persekutuan sama ada kita sendiri atau gabungan dengan pihak lain termasuk BN.
“Apa yang pasti kita tidak menerima PH walaupun perlu gabungan,” katanya ketika ditemui selepas ceramah di Ketereh, Kota Bharu, malam tadi.
Takiyuddin berkata, perkara itu pernah disuarakan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang juga Timbalan Pengerusi PN.
“Presiden PAS ada menyebut sekiranya kita tidak boleh bergabung sebelum PRU15, mungkin selepas PRU-15 kita boleh wujudkan hubungan itu,” katanya lagi.