PRU15: Penggabungan dengan PH tidak mungkin berlaku – PM
(Astro Awani) – Tidak mungkin berlaku penggabungan antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH).
Itu penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang berpendapat, keputusan yang dicapai dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) dan Majlis Tertinggi (MT) sebagai jelas dan tidak boleh diragui.
“Bagi saya tak mungkin berlaku, sebab di dalam PAU, dalam MT, keputusan telah dibuat. No Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim), No DAP, No PKR. Dan keputusan tersebut adalah keputusan, saya kata PAU tu adalah autoriti tertinggi.
“Kalau nak reverse (patah balik) keputusan tersebut, bawalah balik ke MT dan bawa balik ke mesyuarat agung luar biasa untuk putuskan sebaliknya. Selagi tidak ada keputusan seperti itu, maka keputusan yang asal akan terus kekal.
“Dan saya percaya tidak ada sesiapa pun di kalangan UMNO, kepimpinan tertinggi mana sekalipun yang boleh mengubah keputusan MT dan boleh ubah keputusan PAU dengan cara bersendirian. Ia mesti diputuskan oleh parti,” katanya dalam program Bual Bicara Khas Bersama Perdana Menteri: Kestabilan & Kemakmuran, yang disiarkan malam ini.
Perdana Menteri berkata demikian sebagai mengulas bayangan yang digambarkan oleh pemerhati politik bahawa BN dan PH akan bergabung untuk membentuk kerajaan Persekutuan selepas PRU15 sekiranya kedua-dua parti tidak memperoleh majoriti mudah.
Tegas Ismail Sabri lagi, UMNO dan BN merupakan parti yang konsisten berprinsip dan itu adalah perbezaan utama mereka dengan pembangkang.
“Saya sendiri, konsisten dengan pendirian kita, bahawa kita tidak campur dalam urusan mahkamah.
“Bayangkan, pemimpin besar kita Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas Perdana Menteri, bekas Pengerusi BN, bekas Presiden UMNO, tetapi apabila berhadapan kes di mahkamah, keputusan kerajaan ialah tidak campur tangan dalam urusan mahkamah. Dan kita kotakan apa yang kita cakap.
“Inilah beza antara mereka dengan kita. Mereka cakap sahaja, menunjukkan seolah-olah merekalah pejuang hak asasi, merekalah yang menghormati kedaulatan undang-undang, tetapi merekalah yang melanggar segala apa yang mereka janjikan untuk mengangkat martabat sistem perundangan, kehakiman dan sebagainya, tetapi mereka yang melanggar semua perkara ini,” kata Ismail Sabri.
Dalam masa sama, Ismail Sabri juga melihat pimpinan PH dulu dan kini masih sama, biarpun tanpa Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Bagi saya, sama sahaja. Yang tidak ada, Tun Dr Mahathir sahaja. Yang lain masih ada seperti biasa dan polisi parti sama juga, tidak berubah.
“Kalau dulu dengan sekarang, kerana ada perubahan sedikit daripada segi kepimpinan. Tetapi asasnya tetap sama. Serupa kitalah, UMNO. Walaupun banyak berlaku perubahan, tetapi prinsip perjuangan kita tetap sama,” jelas beliau lagi.