Presiden dan Timbalan Presiden UMNO digesa lepaskan jawatan
(Utusan) – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Raja mendesak Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar mengambil tanggungjawab di atas kekalahan Barisan Nasional (BN) yang hanya mendapat 30 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang berakhir semalam.
Ketua Pemuda UMNO bahagian itu, Sheikh Weshal Sheikh Ahmad berkata, Ahmad Zahid perlu mengambil tanggungjawab dan meletak jawatan seperti mana yang dilakukan oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak apabila parti kalah dalam PRU14.
“Pemuda UMNO Kota Raja juga meminta Timbalan Presiden UMNO, Datuk Mohamad Hasan turut mengotakan janji beliau untuk meletak jawatan sekiranya BN gagal memenangi pilihan raya kali ini.
“Sudah tiba masanya sebarang perundingan UMNO dengan parti lain dijalankan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang lebih terbuka, tenang dan bertindak atas kepentingan parti bukan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sheikh Weshal berkata, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Raja merasa amat kecewa dengan keputusan PRU15 yang menyaksikan BN kalah teruk di peringkat Parlimen dengan hanya mendapat 30 kerusi.
Katanya lagi, BN juga tewas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Perak dan Pahang.
“Kekalahan ini sebahagian besarnya disebabkan tindakan Ahmad Zahid membelakangkan parti dalam proses pemberian watikah calon.
“Presiden juga gagal memahami kehendak pengundi sehingga mengelirukan ahli seolah-olah parti akan menang besar jika PRU diadakan pada tahun ini,”katanya.