Zahid Dah Lama Rancang Angkat Anwar PM, Akhirnya Jadi Bencana – Annuar Musa


(Suara TV) – Strategi Barisan Nasional (BN), Umno bergerak solo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah bertujuan merealisasikan impian Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diangkat sebagai Perdana Menteri.

Sedangkan menurut Bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa, rakyat terus dimomokkan dengan naratif ‘No Anwar No DAP’ yang digerakkan oleh kumpulan penulis naratif sekaligus menenggelamkan strategi pasti menang gabungan BN dan Perikatan Nasional (PN).

Dakwa beliau lagi, perancangan mengangkat Anwar menjadi Perdana Menteri sudah digerakkan Zahid sekitar Julai dan Ogos 2020 yakni ketika musim Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Formula bergerak solo adalah formula dicipta oleh pucuk pimpinan untuk menjayakan satu grand design yang terselindung daripada ahli parti. Sedangkan ahli parti ditarbiah “No Anwar, No DAP”.

“Pun begitu, pucuk pimpinan dah ada agenda lain, yang mana hari ini dah meletup keluar sedangkan komunikasi telefon, surat, perjumpaan-perjumpaan di sebuah rumah di Ampang yang antara lain sampai ada yang tandatangan SD.

“Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Tajuddin Rahman dan juga Datuk Seri Nazri Aziz terlibat ketika itu,” dakwa Annuar dalam wawancara eksklusif Apa Muslihat Zahid Hamidi yang disiarkan di platform Suara.TV malam tadi.

Mengulas lanjut berhubung perancangan sulit itu lagi, bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia juga memberitahu antara pimpinan blok Pakatan Harapan (PH) yang hadir sama dalam perbincangan itu ialah Anthony Loke, Anwar dan tentunya Zahid turut serta.

“Mereka merancang untuk beri sokongan Anwar jadi Perdana Menteri. Asalnya kita fikir ia soal strategi jadi tak jadi isu sangat tapi akhirnya terbukti Zahid dah tandatangan sokong Anwar,” dedah bekas ahli Parlimen Ketereh itu lagi.

Pun begitu, tegas Annuar formula yang dicatur Zahid adalah rencana yang gagal dan akhirnya menjadi bencana kepada parti.

Annuar juga mendakwa, gerakan itu juga telah mencipta naratif bahawa PAS dan Bersatu mahu membunuh Umno.

“Bersatu dan PAS nak membunuh Umno juga satu naratif yang direka untuk menghalalkan strategi solo,”katanya.

Annuar juga menjelaskan, beliau sendiri melakukan rundingan bersama Bersatu dan PAS dalam usaha mewujudkan kerjasama menghadapi PRU15.

Dakwa beliau lagi, perkara itu telah dipersetujui oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin termasuk memberi laluan kerusi lebih banyak kepada Umno.

“Kalau kata PAS atau Bersatu nak bunuh Umno, saya masih ingat Muhyiddin kata mereka parti kecil jadi biarlah Umno ambil kerusi paling banyak.

“Waktu berunding kita (Umno) sasar 80 kerusi, nak beri Bersatu sehingga 40 kerusi dan Pas 30 kerusi. Jika formula ini dibuat, memang akan menang 2/3,”kata Annuar.

 



Comments
Loading...