MT UMNO putuskan sertai Kerajaan Perpaduan bukan diterajui PN


UMNO menyatakan sokongan untuk menyertai Kerajaan Perpaduan yang bukan diterajui oleh Perikatan Nasional (PN) seperti yang dizahirkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

(Berita RTM) – Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi satu kenyataan berkata ia diputuskan dalam Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO.

“MT sebulat suara memutuskan untuk menyokong dan menjunjung titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya  Barisan Nasional mengambil bahagian dalam Kerajaan Perpaduan bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat lebih tiga jam di Menara Dato Onn malam tadi.

Katanya, MT juga bersetuju semua wakil-wakil parti yang memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 mematuhi dan menerima sebarang bentuk Kerajaan Perpaduan atau lain-lain bentuk kerajaan yang bakal dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda.

Menurut Ahmad,  mesyuarat MT  UMNO turut memperkukuhkan sokongan terhadap Ahmad Zahid untuk terus kekal menerajui sebagai Pengerusi BN dan sebulat suara menyokong beliau sebagai Presiden UMNO.

“MT telah mengambil maklum dan memperhalusi segala butiran kedua-dua perbincangan yang telah dijalankan oleh Jawatankuasa Perundingan BN dengan Pakatan Harapan (PH) dan PN,” katanya.

Beliau turut memaklumkan Perhimpunan Agung UMNO  2022 akan diadakan dari 21 hingga 24 Disember 2022.



Comments
Loading...