Anwar sebagai PM buka peluang hubungan dengan Malaysia, kata pengarang kanan akhbar Israel


Esther Solomon membandingkan Anwar Ibrahim dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang mempunyai pendirian tegas terhadap dasar Israel di banyak forum antarabangsa.

Pengarang kanan sebuah akhbar Israel berpengaruh berkata pelantikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri boleh membuka lembaran baru dalam hubungan antara negara Yahudi itu dengan Malaysia, di mana setiap kerajaan ditubuhkan sebelum ini tegas mengutuk Zionisme dan secara terbuka menyokong perjuangan rakyat Palestin.

Ketua pengarang akhbar berbahasa Inggeris Haaretz, Esther Solomon turut membandingkan Anwar dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang jelas melemparkan kutukan terbuka terhadap dasar Israel di forum antarabangsa sehingga menyebabkan beliau dilabel sebagai “anti semitik”.

“Berbeza dengan Mahathir sebelum ini, PM Malaysia yang baru Anwar Ibrahim tidak menggelar dirinya sebagai seorang yang ‘bangga sebagai anti semitik’; malah musuhnya menyelar beliau sebagai ‘agen’ Yahudi dan/atau Kristian.

“Israel akan menyukai hubungan yang lebih erat dengan Kuala Lumpur. Mungkin ini adalah peluang?” soalnya mengulas di Twitter sambil berkongsi laporan Haaretz mengenai pelantikan Anwar.

Ulasannya mengundang banyak balasan dari rakyat Malaysia, walaupun kebanyakannya adalah balasan ringkas yang mendakwa tidak ada negara bernama Israel, dan ada juga yang berpendapat bahawa sebarang isyarat diplomatik kepada Israel akan membunuh karier politik Anwar.

Perdebatan panjang mengenai dakwaan wujud hubungan Anwar dengan Israel dibangkitkan semula sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini, apabila pesaingnya di Tambun, Ahmad Faizal Azumu, mencabar beliau untuk menyatakan PKR tidak disusupi anasir Israel.

Apa yang dibangkitkan Faizal itu adalah susulan penahanan puluhan rakyat Malaysia yang dikatakan diupah oleh agensi perisikan Israel, Mossad untuk menculik seorang pereka program komputer Palestin yang dikehendaki negara itu September lalu.

Beberapa hari selepas suspek didakwa di mahkamah atas tuduhan menculik, muncul gambar di media sosial yang menunjukkan salah seorang daripada mereka, rakyat Malaysia bernama Raibafie Amdan, mengibarkan bendera PKR dalam gambar yang diambil beberapa tahun sebelum itu.

PKR kemudiannya menafikan Raibafie merupakan ahli parti itu.

Insiden tersebut turut membangkitkan semula kenyataan kontroversi Anwar ketika diwawancara Wall Street Journal pada 2012, di mana beliau berkata akan “menyokong semua usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel”.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...