Isu Islamofobia: PKR mempertahankan DAP


(FMT) – Seorang pemimpin PKR menggesa Abdul Hadi Awang membuat laporan polis susulan dakwaan presiden PAS itu bahawa DAP mempromosikan Islamofobia kepada golongan bukan Islam di negara ini.

Fahmi Fadzil yang juga ketua penerangan PKR berkata, Abdul Hadi wajar laporan polis jika ia terbukti benar.

“Sewajarnya dilapor kepada polis, jika ia terbukti benar. Hentikanlah sebar kebencian, kepalsuan.

“Jika benar DAP seperti apa yang dituduh, buat laporan polis. Biar pihak berkuasa ambil tindakan,” katanya di Twitter.

“Masa yang sama, ingat-ingat lah titah nasihat DYMM Yang di-Pertuan Agong agar kita semua rapatkan saf demi masa depan Malaysia tercinta. Jangan derhaka.”

Ia merujuk kepada kenyataan Abdul Hadi yang mendakwa DAP mempromosi Islamofobia kepada golongan bukan Islam, melalui Facebooknya, hari ini.

Abdul Hadi mendakwa, PAS terus menjadi sasaran DAP selepas melihat kemaraan parti itu meraih kerusi terbanyak pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Beliau mendakwa, DAP ibarat membaling batu di tengah khalayak ramai pada waktu siang demi kepentingan politiknya, selain menyebarkan Islamofobia kepada kaum bukan Islam.

Semalam, Abdul Hadi menggunakan analogi perlawanan bola sepak mendakwa, cara pelantikan Anwar Ibrahim umpama memberikan masa tambahan bagi membolehkan Pakatan Harapan (PH) mengumpul lebih banyak Ahli Parlimen bagi menyokongnya.

Dalam kerancakan Piala Dunia yang sedang berlangsung, Abdul Hadi mendakwa ketika Muhyiddin Yassin sudah menang kerana berjaya melepasi 112 majoriti mudah, PH dan Anwar sebaliknya diberikan masa tambahan untuk mencari sokongan tambahan.

 



Comments
Loading...