Tolak PKR, DAP hanya strategi PRU15, kata Zahid


Presiden Umno itu berkata pendirian mengenai kerjasama dengan Pakatan Harapan dan Bersatu itu tidak terpakai selepas pilihan raya.

(Malaysia Now) – Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata pendiriannya menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) serta Bersatu hanya sekadar strategi kempen pilihan raya.

“Penolakan sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan Bersatu adalah untuk berdepan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan bukannya untuk pasca pilihan raya.

“Yang kedua, kerjasama ini adalah berlandaskan titah Yang di-Pertuan Agong yang inginkan kerajaan perpaduan terbentuk,” katanya dalam catatan Facebook.

Zahid yang berdepan tekanan supaya beliau meletak jawatan sebagai pengerusi Barisan Nasional (BN) berikutan prestasi buruk gabungan itu dalam PRU15 baru-baru ini.

Beliau juga mengetuai usaha untuk meningkatkan jumlah sokongan kepada Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan, selepas mewakili 30 ahli Parlimen BN untuk menyokong pengerusi PH tersebut.

Umno, yang lama berpegang kepada pendirian “No Anwar, no DAP”, juga bersetuju memutuskan hubungan dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) pada perhimpunan agungnya tahun lepas.

Selepas pilihan raya 19 November lalu, parti itu kemudiannya menyokong cadangan Agong supaya kerajaan perpaduan dibentuk namun bukan kerajaan yang diterajui oleh PN.

Sebelum pilihan raya diadakan, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin beberapa kali mengulangi Anwar dan Zahid akan berganding bahu untuk membentuk kerajaan campuran sekiranya Umno kekurangan sokongan yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...