Saifuddin buat U-turn tentang pendedahan rundingan sulit PH-BN sebelum PRU15


(FMT) – Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail mengakui tersilap dedah maklumat berhubung rundingan membentuk kerajaan perpaduan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Ketua Setiausaha PH itu mengakui susunan ayat dalam hantaran itu kurang tepat sehingga menimbulkan kekeliruan dalam menerangkan perspektif sebenar rundingan kerjasama dua gabungan tersebut.

Katanya, rundingan PH dan BN bagi membentuk kerajaan perpaduan hanya berlangsung selepas kedua-dua pihak menerima keputusan PRU15.

“Kerjasama perbincangan (diadakan) selepas PRU15 apabila keputusan menyaksikan tiada blok boleh membentuk kerajaan. Namun, hubungan peribadi dengan watak utama politik ‘non PH’ (bukan PH) sudah lama berjalan dan kekeliruan berlaku di situ.

“Sesetengah media memilih (melaporkan) rundingan berlaku sebelum (PRU15). Nanti saya akan perbaiki susunan ayat dalam hantaran di media sosial dan beri perspektif lebih tepat.

“Terima kasih kerana bertanyakan dan bantu saya memberikan perspektif lebih tepat mengenai hantaran berkenaan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Catatan Facebook Saifuddin pada 4 Dis lalu mengundang kritikan dan persepsi terhadap PH dan BN, selepas beliau mengaku usaha membina kerjasama dengan pemimpin BN sudah lama direncanakan PH.

 



Comments
Loading...