‘Saya dah berunding dengan Syed Mokhtar,’ Anwar beritahu berkait arah beri balik petani


Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjelaskan tindakannya mengarahkan tokoh korporat, Syed Mokhtar Albukhary memberi balik petani RM10 juta dan RM50 juta tahun depan adalah keputusan secara bersama yang telah dirunding.

(FMT) – Beliau yang juga menteri kewangan berkata, tidak bermakna jika pemimpin melaungkan Melayu Islam tetapi nasib mereka yang miskin tidak terbela.

“Untuk jamin masa depan petani dan pesawah miskin ini, saya ambil langkah untuk berunding dengan dia dan cuba bantu… tidak faham kenapa jadi masalah.

“Jeritlah sekuat mana Melayu dan Islam tetapi masih orang Melayu…orang miskin tak terbela tidak ada makna bagi saya,” katanya pada sidang medianya di Kementerian Kewangan selepas memulakan tugasnya sebagai menteri kewangan hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor mengkritik dan menuduh Anwar menyasarkan taikun Melayu, dan Syed Mokhtar terutamanya kerana beliau mudah dibuli, lapor Malay Mail.

Syed Mokhtar disenaraikan oleh majalah Forbes sebagai orang ke-15 terkaya Malaysia tahun ini, dikatakan memiliki aset bernilai USD1.3 bilion.

Tokoh korporat berusia 70 tahun itu memiliki pegangan majoriti saham dalam Padiberas Nasional Berhad (Bernas) yang menguasai kira-kira 30% rangkaian pengedaran beras negara.

Dalam pada itu, Anwar enggan melayan kritikan Sanusi berhubung arahannya kepada Syed Mokhtar.

“Saya bincang baik dengan Syed Mokhtar…yang nak jadi perkakas konglomerat sebab apa… dan Syed Mokhtar setuju tertakluk rundingan teliti,” katanya.

 



Comments
Loading...