UMNO dalam keadaan rapuh dan tidak stabil, kata Jamal
(Malaysia Gazette) – Jangan pertandingkan jawatan Presiden UMNO dan timbalannya dalam pemilihan parti akan datang.
Itu cadangan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos dan mahu supaya usul tersebut dibentangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2022 bulan depan.
Menurut beliau, ia adalah kerana UMNO masih lagi dalam keadaan rapuh dan tidak stabil.
“Walaupun UMNO mengamalkan sistem demokrasi tetapi apa yang berlaku yang kalah tidak dapat menerima kekalahan dan melakukan gerakan agar yang menang didesak untuk meletakkan jawatan seperti apa yang berlaku sebelum pemilihan pada tahun 2018,” katanya dalam kenyataan hari ini.
UMNO perlu mengadakan pemilihan di semua peringkat bagi penggal baharu dalam masa enam bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berakhir, seperti yang dipersetujui pada Perhimpunan Agung UMNO 2021.
Kali terakhir parti itu mengadakan pemilihan adalah pada 30 Jun 2018.
Pemilihan yang sepatutnya berlangsung tahun ini ditangguhkan bagi mengelakkan perpecahan dalam UMNO menjelang PRU-15.