‘Kerajaan Perpaduan’ tidak ‘solid’, kata Kit Siang


“Rakyat Malaysia berasa lega kerana ‘Langkah Kota Kinabalu’, usaha menggulingkan kerajaan Hajiji telah gagal, namun ia adalah peringatan yang baik tentang kerapuhan Kerajaan Perpaduan Anwar.”

(Malaysia Post) – LANGKAH Kota Kinabalu (KK) untuk menggulingkan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah adalah satu peringatan terhadap kerapuhan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, rakyat juga melahirkan rasa lega kerana ‘Langkah KK’ telah gagal.

“Rakyat Malaysia berasa lega kerana ‘Langkah Kota Kinabalu’, usaha menggulingkan kerajaan Hajiji telah gagal, namun ia adalah peringatan yang baik tentang kerapuhan Kerajaan Perpaduan Anwar.”

“Ini menunjukkan kepentingan mempunyai kestabilan politik dalam tempoh lima tahun akan datang untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bertaraf dunia,” katanya dalam blognya hari ini.

Menurut Kit Siang lagi, ‘Langkah Kota Kinabalu’ juga menjadi peringatan bahawa rakyat sudah muak dengan plot dan subplot dalam politik Malaysia.

Beliau berkata, apa yang Malaysia perlukan adalah kestabilan politik untuk lima tahun yang akan datang, untuk membetulkan perkara salah yang telah berlaku dalam enam dekad lepas.

“Inilah cabaran terbesar yang dihadapi kita sekarang, untuk membina semula Malaysia sebagai sebuah negara majmuk hebat yang bertaraf dunia.

“Untuk usaha ini dimulakan dan berjaya, kita memerlukan kestabilan politik bagi membolehkan kerajaan Anwar membetulkan kesilapan-kesilapan lepas dan menghentikan penyalahgunaan kuasa yang telah menyebabkan kemerosotan negara kita,” katanya.

Malah, beliau berkata, perpaduan rakyat juga diperlukan untuk membina semula Malaysia sebagai sebuah negara hebat, bukannya politik toksik yang dibina di atas penipuan, syak wasangka, kebencian, hasutan perkauman, dan keagamaan.

“Mungkin ‘perpaduan’ inilah yang kerajaan Anwar perlu bina dahulu untuk membolehkan kita bersama capai cita-cita untuk membina semula Malaysia sebagai sebuah negara majmuk hebat yang bertaraf dunia.

“Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah untuk menghentikan politik toksik penipuan, syak wasangka, kebencian, perkauman, dan keagamaan, dan menjenayahkan penipuan dan fitnah berkaitan dengan kaum dan agama,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Umno dan Barisan Nasional (BN) Sabah secara rasmi membuat keputusan untuk menarik diri daripada kerajaan negeri Sabah selepas hilang kepercayaan terhadap Hajiji.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau dipetik berkata, Hajiji telah melanggar perjanjian persefahaman yang dibentuk di bawah kerajaan negeri Sabah.

 



Comments
Loading...