Muda: Zahid tak bertanggungjawab sifatkan kes Najib ‘pendakwaan politik’
(Malaysiakini) – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menyifat kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa kes bekas perdana menteri Najib Razak sebagai ‘pendakwaan politik dan terpilih’ boleh membawa implikasi terhakisnya kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman negara.
Setiausaha Agung Muda Amir Abd Hadi menegaskan dakwaan Ahmad Zahid dalam ucapan dasar di Perhimpunan Agung Umno 2022 itu adalah tidak bertanggungjawab.
“Ahmad Zahid bukan sahaja merupakan presiden Umno, malah adalah timbalan perdana menteri Malaysia, dan bukan ahli Parlimen pembangkang.
“Kenyataannya, yang merupakan orang nombor dua dalam kerajaan memberi gambaran seolah-olah keputusan sebulat suara panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib berkait penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd, dibuat secara tidak adil.
“Ia boleh membawa implikasi terhakisnya kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman negara. Ia juga membina persepsi buruk terhadap kerajaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Semalam Malaysiakini melaporkan Ahmad Zahid menuntut mahkamah memberikan keadilan kepada Najib dalam perbicaran melibatkan bekas bosnya.
Sementara itu, Amir berkata sebagai parti yang mendukung kerajaan hari ini, Muda akan berusaha memastikan tidak ada sebarang campur tangan politik ke atas kes-kes yang sedang dibicarakan.
Tegasnya, parti itu juga akan memastikan sekiranya terdapat sebarang unsur-unsur campur tangan yang jelas ia akan didedahkan kepada umum.
Najib sebelum ini didakwa atas tuduhan rasuah berkaitan 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International Sdn Bhd.
Dia didapati bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan skandal SRC International dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta didenda RM120 juta.
Bekas perdana menteri itu kini menjalani hukuman di Penjara Kajang.